
Pengerusi panel itu, Kamaludin Md Said dan Azizah Nawawi menjadi majoriti bersetuju, manakala S Nantha Balan membantah.
Majoriti berkata, istilah “bapa” dalam Jadual Kedua Bahagian 11 Perlembagaan Persekutuan bermakna bapa kandung dan tidak boleh diperluas kepada ibu atau ibu bapa.
Kamaludin dan Azizah, yang menyatakan mereka mengikuti prinsip undang-undang dalam keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lepas berkata, ia terpulang kepada Parlimen, bukannya mahkamah untuk meminda Perlembagaan.
Nantha Balan berkata, status undang-undang semasa keturunan ibu dibuat seolah-olah lebih rendah tarafnya daripada bapa.
Katanya, Perkara 14 Perlembagaan yang membenarkan anak di luar persekutuan mendapatkan kerakyatan, bersifat diskriminasi kerana melanggar peruntukan kesamaan.
Beliau berkata, tindakan menafikan kerakyatan itu juga bertentangan undang-undang antarabangsa yang turut diiktiraf Malaysia.
Ini bermakna keputusan hari ini memihak kepada kerajaan, menteri dalam negeri, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang menjadi perayu serta responden dalam dua kes.
Tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kerajaan perlu memberi kerakyatan kepada anak dilahirkan ibu rakyat Malaysia di luar negara kerana istilah “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan perlu merangkumi ibu.
Dalam membenarkan beberapa relief perisytiharan yang dimohon sebuah NGO dan enam ibu bahawa peruntukan mengenai kewarganegaraan dalam Perlembagaan bersifat diskriminasi, hakim Akhtar Tahir berkata, mereka berhak diberikan kerakyatan mengikut undang-undang.
Dalam kes kedua, Mahisha Sulaiha yang dilahirkan di India oleh ibu warga Malaysia dan bapa warga India, merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 2020 yang memihak kepada kerajaan dalam permohonannya untuk menjadi warganegara Malaysia.