Mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada 15 Ogos, dijangka sentuh PRU15

Mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada 15 Ogos, dijangka sentuh PRU15

The Star yang memetik sumber berkata, topik pertemuan membabitkan tahap kesiapsiagaan gabungan itu di peringkat negeri menjelang pilihan raya umum.

Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka memanggil kepimpinan tertingginya berbincang berhubung pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dikatakan akan dipanggil selepas pembentangan Bajet 2023. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Laluan menjurus pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir apabila Barisan Nasional (BN) dijadual memanggil mesyuarat majlis tertingginya, di Kuala Lumpur, pada 15 Ogos.

Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, sudah memaklumkan kepada semua pemimpin tertinggi parti komponen gabungan itu untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

Walaupun jemputan rasmi belum diserahkan, pemimpin sudah diberitahu supaya mengosongkan kalendar masing-masing bagi mesyuarat, yang dijangka fokus kepada pilihan raya.

Menurut The Star yang memetik sumber terdekat, berkata mesyuarat Majlis Tertinggi BN akan diadakan di ibu pejabat BN, di PWTC, selepas pertemuan Majlis Tertinggi Umno, pada Khamis.

Sumber berkata, topik utama membabitkan penilaian umum berhubung kesiapsiagaan BN menjelang pilihan raya dan maklum balas daripada kepimpinan.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika ini dalam siri jelajah, bersama kepimpinan BN.

“Beliau dijangka berkongsi bersama kami kekuatan dan kelemahan BN di peringkat negeri,” kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, semua penanda aras menjelang pilihan raya umum akan dibuat selepas pembentangan Bajet 2023, di Dewan Rakyat, pada Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.