Kes pemerdagangan manusia meningkat, pakar mahu Malaysia lebih bertindak

Kes pemerdagangan manusia meningkat, pakar mahu Malaysia lebih bertindak

Undang-undang memerangi jenayah keji itu memerlukan pembabitan lapisan masyarakat selain penguatkuasaan undang-undang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri Fauzi Md Isa, berkata menurut data terkini, dilaporkan kes melonjak mendadak berbanding tahun sebelumnya.
KUALA LUMPUR:
Pakar berpandangan Malaysia perlu lebih bertindak dalam usaha memerangi aktiviti pemerdagangan manusia yang semakin meningkat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri Fauzi Md Isa, berkata menurut data terkini, dilaporkan kes melonjak mendadak berbanding tahun sebelumnya.

“Kita melihat trend meningkat dalam kes pemerdagangan manusia dengan 115 kes dilaporkan pada 2021, berbanding 17 pada 2008,” katanya dalam forum mendidik guru terlatih mengenal pasti dan mencegah kes pemerdagangan manusia.

Dapatan statistik Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo), Fauzi berkata, antara 2015 sehingga Jun lalu, terdapat 1,972 kes dilapor, manakala 2,902 individu ditahan susulan kaitan dengan kes berkenaan.

Pengasas Konsultan Engender, Omna Sreeni-Ong, berkata Malaysia perlu melaksanakan lebih tindakan memerangi pemerdagangan manusia, namun menyatakan kerajaan tidak mampu melakukannya bersendirian.

“Ia isu yang rumit dan itulah sebabnya program kami menumpukan kepada kerjasama,” katanya.

Katanya, dalam menangani jenayah keji ini, semua lapisan masyarakat perlu terbabit sama.

Timbalan Ketua Misi Kedutaan Amerika Syarikat, Michael Newbill, berkata walaupun berlakunya peningkatan jumlah kes saban tahun, namun kesedaran masyarakat masih kurang berhubung kesan buruk pemerdagangan manusia.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa pemerdagangan manusia, buruk paksa atau pemerdagangan seks. Ia boleh berlaku terhadap lelaki mahu pun wanita, tanpa mengira umur, bangsa, etnik, kewarganegaraan, status imigresen atau kelas sosial,” katanya.

Sambil menyokong kenyataan Omna, Newbill berkata, dalam usaha memerangi pemerdagangan manusia, ia memerlukan pendekatan “menyeluruh masyarakat”.

“Walaupun Malaysia mempunyai asas baik undang-undang sedia ada (memerangi pemerdagangan manusia), tetapi ia masih memerlukan kerjasama penduduknya,” katanya sambil menyatakan situasi sama diperlukan di Amerika Syarikat.

“Anda boleh mempunyai undang-undang dan penguatkuasaan, namun penyeludup akan mencari jalan melepaskan diri daripada usaha kerajaan kerana mereka bermotivasi tinggi dan mencari mangsa kepada golongan rentan dalam masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.