Rosmah hadir di mahkamah sokong suami

Rosmah hadir di mahkamah sokong suami

Rosmah Mansor dilihat berjalan bersama Najib Razak dan dua anak mereka, Nor Ashman serta Nooryana Najwa selepas sesi pendengaran rayuan pagi ini.

Rosmah Mansor bersama anak-anaknya, Nor Ashman dan Nooryana Najwa, di Mahkamah Persekutuan hari ini.
PUTRAJAYA:
Rosmah Mansor turut hadir di Mahkamah Persekutuan hari ini sebagai tanda sokongan kepada suaminya, Najib Razak yang rayuan terakhirnya bagi kes SRC International sedang berlangsung.

Beliau dilihat berjalan bersama Najib dan dua anak mereka, Nor Ashman dan Nooryana Najwa untuk pergi makan tengah hari selepas sesi pendengaran rayuan pagi ini.

Sesi pendengaran akan disambung semula pada 2.30 petang.

Tiada sidang akhbar diadakan selepas sesi rayuan pagi ini.

Ashman dan Nooryana tiba di Mahkamah Persekutuan pada 9.20 pagi tadi. Penyokong Najib turut berada di luar mahkamah seawal 8 pagi.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan peguam utama Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada mewakili Najib dalam rayuan terakhir SRC International bekas perdana menteri itu.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, mahkamah sebulat suara berpendapat Hisyam “gagal mendedahkan alasan kukuh” untuk mewajarkan permohonannya menarik diri.

Mahkamah menetapkan 15 hingga 26 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib dalam usaha membatalkan sabitan atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu, tetapi Najib dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.