Pemenjaraan Najib dan selok-belok sistem pengampunan

Pemenjaraan Najib dan selok-belok sistem pengampunan

Kuasa pengampunan terletak dalam tangan raja-raja dan Agong, namun adakah Najib Razak layak mendapatkan pengampunan?

Bekas perdana menteri Najib Razak dibawa ke penjara Kajang pada Selasa untuk mula menjalani hukuman penjara 12 tahun.
PETALING JAYA:
Kemungkinan Najib Razak mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong menjadi bualan hangat, selepas dia disabitkan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC International minggu lepas, menjadikannya bekas perdana menteri pertama yang dipenjarakan.

Bagaimanakah sistem pengampunan berfungsi, dan siapa yang boleh mendapatkannya? FMT meninjau selok-belok sistem pengampunan di Malaysia.

Peraturan dan kawal selia

Daniel Pascoe, seorang profesor madya di City University of Hong Kong, berkata pengampunan dikawal selia oleh Perlembagaan Persekutuan, Kanun Prosedur Jenayah dan Peraturan Penjara.

Daniel Pascoe.

Perlembagaan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk “memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum” bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.

Di negeri-negeri lain, kuasa pengampunan terletak dalam tangan raja-raja atau yang di-pertua negeri.

Siapa yang layak?

Pascoe, yang menjalankan penyelidikan mengenai sistem pengampunan di Malaysia, berkata banduan yang menjalani hukuman jangka panjang secara automatik akan dipertimbangkan untuk peringanan hukuman.

Di bawah peraturan penjara, laporan bulanan setiap banduan yang telah menjalani empat, lapan, 12 atau 16 tahun hukuman pada bulan sebelumnya mesti dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan.

Banduan juga boleh membuat petisyen atas kerelaan mereka sendiri. Seorang banduan boleh mengemukakan petisyen untuk pengampunan sebaik sahaja boleh, susulan sabitan. Petisyen kedua boleh dikemukakan tiga tahun selepas sabitan dan petisyen seterusnya setiap dua tahun.

Proses undang-undang

Peguam Andrew Khoo berkata, walaupun Agong atau raja-raja mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan, mereka dinasihati oleh Lembaga Pengampunan.

Andrew Khoo.

Lembaga akan mempertimbangkan permohonan dan kemudian menasihati raja atau pemerintah negeri.

“Ada proses yang perlu diikuti,” kata Khoo.

Pascoe berkata, kes membabitkan banduan persekutuan akan dibicarakan oleh Lembaga Pengampunan persekutuan, yang dianggotai peguam negara, menteri wilayah persekutuan dan tiga wakil awam, dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Suara yang paling penting dalam lembaga tersebut ialah peguam negara dan menteri. Peguam Negaralah yang akan meminta Agong mengadakan mesyuarat, di mana Agong menerima nasihat lembaga.

“Agong bebas untuk bertindak bertentangan dengan nasihat ini, tetapi wujud konvensyen dalam kes-kes persekutuan di mana baginda menerima nasihat lembaga, selaras dengan peranan istiadatnya,” kata Pascoe.

Rangkuman pengampunan

Khoo berkata, pengampunan boleh dimohon untuk sabitan dan hukuman.

Pascoe berkata, di Malaysia, pengampunan juga boleh termasuk mengurangkan hukuman mati kepada hukuman yang lebih ringan, mengurangkan tempoh hukuman penjara atau membebaskan pemohonnya dari penjara.

“Sebelum pengampunan Anwar Ibrahim pada 2018, secara umumnya dianggap bahawa pengampunan tidak boleh mengetepikan sabitan jenayah seseorang banduan,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar bukan sahaja dibebaskan dari penjara, malah sabitan jenayahnya turut diketepikan, membolehkannya dipilih semula ke Parlimen, tanpa menjalani tempoh menunggu selama lima tahun.

Pascoe menambah, kuasa pengampunan yang begitu luas dimiliki Agong wajar, kerana kuasa perlembagaan untuk memberi pengampunan di Malaysia dipengaruhi oleh kedua-dua prerogatif kedaulatan United Kingdom untuk belas kasihan dan keistimewaan yang dinikmati oleh Sultan Melayu sebagai penjaga agama Islam di negeri masing-masing.

“Untuk melihat pengampunan sepenuhnya mengetepikan sabitan jenayah masih sesuatu yang luar biasa di Malaysia, tetapi dalam konteks kesan kolateral seperti larangan memegang jawatan politik selama lima tahun selepas dibebaskan dari penjara, kita mungkin melihat lebih banyak pengampunan ‘penuh’ sedemikian diberikan pada masa akan datang,” kata Pascoe.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.