Dakwaan fitnah Abd Latiff, polis rampas telefon bimbit Rafizi

Dakwaan fitnah Abd Latiff, polis rampas telefon bimbit Rafizi

Polis berkata siasatan terhadap timbalan presiden PKR masih diteruskan selepas bekas Ahli Parlimen Pandan itu dirakam keterangan di IPD Sentul.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyebarkan kenyataan jelik, kata Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai.
PETALING JAYA:
Polis merampas seunit telefon bimbit milik Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli untuk siasatan susulan dakwaan fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abd Latiff Ahmad.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai, berkata pihaknya selesai merakam keterangan Rafizi dengan siasatan masih diteruskan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kesalahan memfitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik),” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, Rafizi tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kira-kira 3 petang tadi bersama tiga peguam, iaitu Adi Zulkarnain Zulkafli, Mohd Ashraf Othman dan Nik Zarith Nik Moustpha, selain diiringi kira-kira 30 penyokong.

Proses merakam keterangan selesai kira-kira 4.30 petang.

Rafizi ketika ditemui berkata, pihak polis memberi layanan baik dan beliau memberikan kerjasama sepanjang proses itu berjalan.

Selasa lalu, pegawai Latiff membuat laporan polis terhadap Rafizi yang disifatkan fitnah bertujuan merosakkan nama baik Ahli Parlimen Mersing itu.

Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog serta menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan TikTok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.