Biar jawatankuasa Parlimen rangka RUU dana politik, kata kumpulan rentas parti

Biar jawatankuasa Parlimen rangka RUU dana politik, kata kumpulan rentas parti

KRPPM menggesa agar jawatankuasa itu dibenarkan berbuat perkara sama yang dilakukannya bagi RUU anti-lompat.

Bulan lepas, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penggubalan RUU pendanaan politik akan disegerakan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, yang akan bersidang semula dari 3 Okt hingga 29 Nov. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) menggesa kerajaan membenarkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) merangka rang undang-undang (RUU) pendanaan politik, sepertimana dilakukan bagi RUU anti-lompat.

Pengerusi KRPPM mengenai Pendanaan Politik Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa kumpulan itu telah merangka dan mengemukakan RUU persendirian berhubung perkara itu pada 13 Julai.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, sebaik sahaja PSC dibentuk, ia harus mengambil kira bahagian terbaik daripada RUU itu dan input Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam merangka undang-undang, “berbanding tergesa-gesa membentangkan RUU oleh Jabatan Peguam Negara” pada sidang Dewan Rakyat bermula Oktober ini.

“Amat penting untuk kita sedari bahawa keperluan dan kebimbangan setiap parti mengenai pendanaan politik adalah berbeza. Perbezaan ini harus dibincangkan secara terbuka dan diambil kira untuk memastikan RUU ini adil kepada semua parti politik.

“Contoh terkini jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang ditubuhkan untuk mempertimbangkan RUU anti-lompat ialah satu contoh positif dan perlu dilakukan juga untuk pendanaan politik.

“Memperkenalkan satu RUU sepenting ini tidak seharusnya dilakukan dengan terburu-buru dan pertimbangan yang melibatkan semua pihak merupakan satu keperluan,” katanya dalam kenyataan.

Tricia Yeoh, daripada Sekretariat kepada KRPPM mengenai Pendanaan Politik, mengalu-alukan usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berunding dengan masyarakat sivil dan parti politik dalam merumuskan RUU itu.

Yeoh, yang juga ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyokong gesaan Fadhli supaya PSC dibenarkan merangka rang undang-undang itu.

“Akhir sekali, kami juga berharap untuk melihat ahli dan parti politik kedua-dua belah pihak menyokong penubuhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen ini,” katanya.

Pada Ogos, Wan Junaidi berkata, penggubalan RUU pendanaan politik akan disegerakan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, yang akan bersidang semula dari 3 Okt hingga 29 Nov.

Beliau berkata, memorandum mengenai RUU itu dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada September untuk mendapatkan kelulusan sebelum Parlimen bersidang semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.