
Ketua PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan, berkata rakyat perlu dijelaskan bahawa ‘kegagalan’ itu tidak harus dikaitkan dengan PH, di mana pengerusinya, Anwar Ibrahim, tidak diberi peluang sebagai perdana menteri ketika itu.
“22 bulan PH memerintah itu bukan PM dari kita, Anwar tidak pernah jadi PM walaupun hanya sebulan.
“Kalau PH kerajaan dan Anwar adalah perdana menteri, barulah boleh dikatakan PH gagal,” katanya kepada FMT.
Untuk rekod, Anwar menjadi pengerusi PH menggantikan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri ketika era pentadbiran 22 bulan gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, kerajaan PH tumbang susulan Langkah Sheraton didalangi beberapa pemimpin Bersatu dan PKR, pada Februari 2020, menyaksikan penubuhan kerajaan campuran antara Bersatu, PAS, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN). Beliau bagaimanapun hilang sokongan daripada Ahli Parlimen Umno dan digantikan dengan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, pada Ogos 2021.
Sathia ketika mengulas lanjut, berkata fakta itu perlu dijelaskan kepada rakyat supaya mereka tidak lagi menuding jari kepada PH yang kini di bawah lembaran baharu.
“Kita percaya sekiranya menang pada pilihan raya umum akan datang, banyak perkara baik akan dilakukan oleh Anwar untuk menjaga kebajikan rakyat. Jadi, kita kena mula dari sekarang untuk memulakan gelombang bagi menolak dakyah jahat mengatakan PH gagal,” katanya.
Beliau turut meminta pucuk pimpinan PH supaya berhati-hati dalam menjalankan kerjasama dengan mana-mana pihak kerana tidak mahu episod hitam seperti Langkah Sheraton berulang.
“Langkah Sheraton berlaku disebabkan pengkhianatan wakil rakyat tertentu, mereka ini tidak harus diterima baik untuk kerjasama atau menyertai semula parti,” katanya merujuk kepada beberapa pemimpin khianat PKR.