
Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau berkata, PH mesti menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa ia adalah satu-satunya gabungan nasional yang amat mengutamakan konsep dan minda Malaysia dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dan seterusnya menerajui kerajaan.
“Oleh itu, saya mahu PH menawarkan tawaran PRU15 yang bersifat inklusif, bersifat Malaysia dengan mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, untuk membuat tawaran yang boleh dipercayai dan berdaya maju, PH mesti terlebih dahulu membina Majlis Persekutuan Negeri sendiri.
Katanya, majlis berkenaan terdiri daripada ketua pembangkang Parlimen, menteri besar Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, serta pemimpin utama PH Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Dengan adanya majlis ini, kita boleh mengkaji serta membincangkan bagaimana kepentingan kerajaan persekutuan, wilayah dan negeri di Malaysia boleh dirasionalkan dan seimbang.
“Saya bersedia menawarkan diri untuk memainkan peranan eksekutif dalam pembentukan badan perundingan yang penting ini,” katanya.
Beliau berkata, sebagai permulaan, PH harus berkempen untuk menamatkan ‘diskriminasi undi’ pengundi Borneo kerana penafian hak ‘pengundi tidak hadir’.
Katanya, pada masa ini, terdapat seramai 300,000 rakyat Sabah dan 200,000 rakyat Sarawak menetap di Semenanjung dengan kebanyakannya kerana mereka tidak mempunyai peluang pekerjaan atau pendidikan yang mencukupi di negeri asal mereka.
“Untuk meminta mereka mengambil cuti dan mengeluarkan sekitar RM1,000 untuk pulang mengundi adalah tidak adil dan kurang munasabah.
“Disebabkan ini dan faktor-faktor yang lain, kita melihat peratusan keluar mengundi jauh lebih rendah di Sarawak dan Sabah berbanding bahagian-bahagian lain di Malaysia,” katanya.
Madius berkata, ketika tiga pilihan raya umum lepas mencatatkan peratusan keluar mengundi nasional iaitu 76% pada 2008, 85% (2013) dan 82% (2018), Sarawak hanya mencatatkan 65%, 76% dan 73% di peringkat pilihan raya parlimen, lebih rendah sebanyak 9% hingga 11% mata.
Katanya, Sabah pula hanya merekodkan 69%, 80% dan 77%, lebih rendah sebanyak 5% hingga 7% dan memandangkan Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada masa berbeza, kadar keluar mengundi adalah lebih rendah iaitu 62% (2001, 2006), 70% (2011), 68% (2016) dan 61% pada 2021.
Tambah Madius lagi, PH juga mesti menuntut perkara itu melalui jawatankuasa pemandu memorandum persefahaman (MoU) supaya kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob memberikan jaminan mengenai kemudahan pengundian tidak hadir.
Katanya, ia termasuk kemudahan mengundi disediakan di ibu negara, setiap wilayah dan negeri bagi pengundi dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk mereka membuang undi di kawasan asal mereka.