Saya tak percaya berita suami ditimpa nahas, kata balu juruterbang

Saya tak percaya berita suami ditimpa nahas, kata balu juruterbang

Leung Lai Oi berkata, sebelum nahas itu, suaminya bercakap seperti biasa dan tiada tanda menunjukkan beliau akan pergi buat selamanya.

Leung Lai Oi bercakap kepada wartawan selepas menuntut mayat suaminya, Richard Chan Tze Kin di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, pagi tadi.
IPOH:
Isteri juruterbang helikopter yang terhempas di Bidor, Perak pada 11 Sept lalu tidak percaya apabila dimaklumkan dengan berita nahas menimpa suaminya, Richard Chan Tze Kin.

“Saya langsung tidak percaya, apabila rakan suami memaklumkan berita itu,” kata Leung Lai Oi, 50, sambil menambah beliau mendapat berita mengenai Chan pada 11 malam hari kejadian dan mencari laporan berita untuk mengesahkan kesahihannya.

Leung memberitahu FMT, beliau ada berhubung dengan suaminya melalui telefon sehari sebelum kejadian, sempena sambutan perayaan kuih bulan pada 10 Sept lalu.

Sebelum nahas itu, katanya, suaminya bercakap seperti biasa dan tiada tanda menunjukkan beliau akan pergi buat selamanya.

Beliau berkata, mayat suaminya akan dibakar selepas upacara pengebumian selama dua hari di Ipoh.

Menurutnya, beliau akan membawa abu mayat suaminya pulang ke Hong Kong pada 16 Okt ini, selepas semua urusan di sini selesai.

Leung berkata, suaminya datang bekerja di Malaysia sejak lima atau enam tahun lalu. Mereka berkahwin sejak 2000 dan tiada anak.

Terdahulu, Leung yang ditemani kakak suaminya, kelihatan tenang ketika tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menuntut mayat Chan.

Helikopter jenis Eurocopter yang dikendalikan juruterbang warga Hong Kong itu, terputus hubungan pada 12.16 tengah hari 11 Sept lalu dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Helikopter itu yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, ditemui kira-kira 9.30 pagi keesokannya di Hutan Simpan Chikus dan mangsa disahkan maut akibat kecederaan kepala.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.