Bentang akta gaji sama rata cegah diskriminasi kaum, kerajaan diberitahu

Bentang akta gaji sama rata cegah diskriminasi kaum, kerajaan diberitahu

Ketua Pemuda PBM Na’im Brundage berkata akta itu penting untuk melarang majikan membayar pekerja pada kadar gaji berbeza berdasarkan faktor kaum dan jantina.

Ketua Pemuda Parti Bangsa Malaysia Na’im Brundage turut merujuk laporan Statistik Gaji dan Upah Malaysia 2020 oleh Jabatan Perangkaan yang mendapati terdapat jurang gaji sangat ketara antara tiga etnik utama.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu memperkenalkan “akta gaji sama rata” bertujuan mencegah sebarang diskriminasi gaji berdasarkan kaum dan jantina yang didakwa berleluasa dalam pasaran buruh tempatan, kata Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ketua Pemudanya, Na’im Brundage, berkata Malaysia perlu mengambil contoh negara luar seperti Amerika Syarikat yang memperkenalkan akta seperti itu sejak 1963 sebagai usaha membanteras diskriminasi gaji di tempat kerja.

“Akta yang perlu diperkenalkan ini harus jelas dalam mewajibkan bayaran gaji yang setara untuk pekerjaan yang sama dengan melarang majikan untuk membayar pekerja dengan gaji berbeza atas faktor kaum dan jantina semata-mata,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akta gaji sama rata selaras dengan intipati Perkara 8 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan yang melarang segala bentuk diskriminasi terhadap sesiapa atas dasar agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina di dalam pelantikan sebarang jawatan atau pekerjaan.

Na’im merujuk kepada laporan Statistik Gaji dan Upah Malaysia 2020 oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) yang mendapati terdapat jurang gaji sangat ketara antara tiga etnik utama.

Katanya, secara purata kaum Cina mendapat gaji bulanan tertinggi sebanyak RM3,325 berbanding etnik Bumiputera RM2,817 dan etnik India sebanyak RM2,853.

Tambahnya, kajian oleh Hwok Aun Lee dan Muhammad Abdul Khalid, Felo Kanan di Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) juga mendapati pemohon mempunyai kelayakan sama tidak mendapat peluang sama rata dalam pasaran tenaga buruh.

“Analisis menunjukkan 22.1% pemohon beretnik Cina akan dipanggil untuk temuduga kerja, berbanding dengan pemohon berbangsa Melayu yang hanya sekadar 4.2%,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.