
Polis memaklumkan kehadiran peserta pada himpunan berkenaan hanya dihadiri kira-kira 50 orang.
Sementara itu, Ketua Muda Negeri Sembilan, Tarmizi Anuwar, berkata, kenyataan Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahya semalam menyebabkan orang ramai khuatir untuk menghadiri perhimpunan aman berkenaan.
“Semalam, ketua polis Dang Wangi mengarahkan orang ramai supaya tidak turun,
“Ini satu ancaman kepada orang ramai yang membuatkan orang ramai takut menyertai perhimpunan ini,” kata Tarmizi kepada FMT.
Himpunan Nyawa Dulu Baru PRU dianjurkan Muda bagi membantah sebarang usaha untuk mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh tahun ini.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa lagi pemimpin pembangkang termasuk Timbalan Presiden Muda yang juga ADUN Puteri Wangsa Amira Aisya, ADUN Taman Templer Sany Hamzan dan ADUN Pasir Pinji Howard Lee, hadir memberi ucapan kepada khalayak.

Selain itu, lima wakil penduduk Baling yang menjadi mangsa banjir di Baling pada awal tahun ini turut hadir menyerahkan memorandum tuntutan, pembelaan dan desakan mangsa banjir, Kampung Iboi Baling, Kedah kepada wakil Muda.
“Muda akan membawa memorandum ini pada sidang Parlimen akan datang dan untuk membawa suara sahabat-sahabat kepada perhatian menteri dan perdana menteri,” kata Syed Saddiq.
Minggu lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob boleh membubarkan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 pada Oktober ini iaitu ketika musim banjir.
Zahid ketika melancarkan jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa minggu lalu dilaporkan berkata, BN sudah bersiap siaga sekiranya PRU15 diadakan pada November ini, iaitu ketika negara menghadapi musim banjir.
Sementara itu, Bernama melaporkan polis membuka satu kertas siasatan berhubung perhimpunan berkenaan, kata Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya.
Beliau berkata beberapa individu telah dikenal pasti dan mereka yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, untuk diambil keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis.
Katanya kira-kira 50 orang termasuk mahasiswa dan ahli parti politik didapati menyertai perhimpunan itu.
Tinjauan Bernama mendapati peserta perhimpunan mula berkumpul di lokasi berkenaan sejak 3.30 petang dan bersurai kira-kira 4.45 petang, dengan tiada kejadian tidak diingini berlaku.