
RUU itu diluluskan dengan undian suara selepas 12 Ahli Parlimen menyertai perbahasan sejurus ia dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga.
RUU untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2022.
Cadangan pindaan itu melibatkan 35 fasal merangkumi 29 fasal pindaan, lima fasal baharu dan satu fasal dimansuhkan.
Sebanyak sepuluh kali pindaan dilakukan dan kali terakhir ialah pada 2007 selaras dengan perubahan sosioekonomi dan keperluan semasa.
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan ketika membentangkan RUU itu berkata pindaan berkenaan selaras dengan kebebasan berpersatuan kerana pekerja dan majikan bebas untuk menubuhkan atau menyertai mana-mana kesatuan sekerja pilihan mereka.
“Pindaan akta itu juga bagi memastikan kualiti perlindungan hak pekerja di negara ini dengan mengambil kira prinsip digariskan di bawah standard perburuhan antarabangsa,” katanya.
Terdahulu ketika perbahasan, M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang menyokong pindaan itu berkata kerajaan perlu mengadakan lebih banyak perjumpaan dengan kesatuan sekerja agar pindaan itu dapat diterima sebulat suara oleh kumpulan berkenaan.
Beliau yang juga bekas menteri sumber manusia berkata, RUU itu perlu bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai pekerja terlibat dalam aktiviti kesatuan sekerja, agar isu membabitkan pekerja khususnya di sektor swasta diberi perhatian.
“Pandangan majikan, lebih banyak ‘union’ lebih banyak masalah tetapi saya dan rakan di pembangkang setuju jika lebih banyak ‘union’ ditubuhkan. Kerajaan seharusnya beri dorongan kepada semua pekerja untuk terlibat dalam penubuhan kesatuan sekerja,” katanya.
Dakwanya, hanya kira-kira 5% pekerja dari sektor awam dan swasta menjadi ahli kesatuan sekerja dan angka itu perlu diberi perhatian.
“Kita mempunyai lebih banyak kebaikan sekiranya terdapat lebih banyak ‘union’,” katanya.
Madius Tangau (PH-Tuaran) pula mengesyorkan agar RUU itu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) agar ia dapat ditambah baik dan dilaksanakan lebih berkesan kepada semua pemegang taruh.
Katanya, walaupun kerajaan mengadakan libat urus dengan kesatuan sekerja dan pihak industri, masih ada persoalan yang tidak terjawab.
“Muktamadkan tuntutan pihak industri dengan merujuk RUU ini ke PSC bagi menghasilkan undang-undang lebih baik seperti mana RUU Kawalan Tembakau dan Rokok,” katanya.
Pada Jun, Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (Camu) menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan menggesa kerajaan menangguhkan pindaan RUU itu.
Camu berkata RUU itu tidak membina sebaliknya, berusaha untuk “mengawal” kesatuan sekerja.