
Tanpa mendedahkan nama calon, beliau berkata, pemimpin yang memegang jawatan dalam parti kaum India itu tentu akan diberi keutamaan pada PRU15.
“Saya akan mengumumkan calon-calon (mewakili MIC atas tiket Barisan Nasional) secepat mungkin. Mungkin ada perubahan, jika ada kerusi tambahan.
“Penyelaras telah dilantik sejak dua tahun lepas untuk bekerja di kerusi masing-masing,” katanya selepas Perhimpunan Agung MIC ke-76.
MIC dijangka bertanding di semua kerusi tradisinya pada PRU15, iaitu sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala perbincangan masih dijalankan bagi kerusi tambahan.
Sementara itu, Vigneswaran menafikan laporan media kononnya antara manifesto MIC adalah membebaskan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Terdahulu, resolusi untuk memberi kuasa kepada presiden MIC dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti berhubung sebarang keputusan berkaitan PRU15 diluluskan sebulat suara dalam perhimpunan agung itu.
Dalam pembentangannya, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata, kuasa itu untuk parti mengambil langkah sepatutnya mengenai mana-mana kerusi Parlimen dan DUN, gabungan atau isu berkaitan PRU15.
“Memandangkan PRU15 akan diadakan dalam masa singkat, terdapat isu semasa mengenai gabungan dengan pihak pembangkang dan terdapat pihak komponen BN yang membuat keputusan untuk berunding dengan pihak pembangkang.
“Maka menjadi kepentingan MIC untuk parti diberi mandat berunding atau membuat keputusan untuk penggabungan dengan parti lain, jika perlu.”
Resolusi itu mendapat sokongan kira-kira 3,000 perwakilan MIC dan pemerhati yang hadir pada Perhimpunan Agung MIC yang dirasmikan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.