
Pengerusi Biro Mobilisasi PH yang juga presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata pihaknya akan mengeluarkan borang pendaftaran sukarelawan untuk mempersiapkan jentera sukarelawan di semua peringkat.
“Kami sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk menghulurkan kepakaran dan bantuan supaya banjir kali ini dapat dihadapi dengan kemusnahan harta benda pada tahap yang amat minimum.
“Sebagai langkah bersiap-siaga, Biro Mobilisasi PH akan mengerahkan seramai mungkin sukarelawan untuk membantu dan memastikan keselamatan mangsa banjir serta harta benda mereka selamat,” katanya dalam kenyataan.
Yang di-Pertuan Agong semalam menggesa rakyat terutama agensi kerajaan supaya bersiap siaga menghadapi banjir berskala besar yang diramalkan berisiko melanda negara mulai hujung bulan depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan, dijangka membawa banjir besar pada hujung bulan berikutan Monsun Timur Laut aktif dalam tempoh itu.