
Penyandang Parlimen Santubong, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sudah tiba masanya menyerahkan semula mandat kepada rakyat bagi memilih siapa bakal menerajui negara untuk lima tahun akan datang.
“Pandangan secara umumnya ekonomi pada 2030 tidak akan menyebelahi kerajaan terutama pada akhir suku pertama,” katanya kepada FMT.
“Pada pemerhatian saya, tiada negara di dunia yang mahu pergi ke situasi (mengadakan pilihan raya umum) ketika ekonomi tidak menyebelahi kerajaan.”
Wan Junaidi yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) ketika pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, ramai pemimpin dunia meramalkan kemelesetan ekonomi tahun depan.
“Saya berpendapat Ismail menilai senario ini. Oleh sebab itu lebih baik mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor berkata, semua parti komponen bersatu untuk berdepan PRU15, tambahnya, mereka juga sudah mencapai beberapa persetujuan termasuk menggunakan satu logo.
Ketua menteri Sabah itu memberitahu, jentera pilihan raya di peringkat negeri dan Parlimen sedia untuk diaktifkan bila-bila masa.
Sementara itu, menurut laporan The Borneo Post, Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian, berkata rakyat Sarawak “akhirnya berpeluang” memperjuangkan hak mereka seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila PRU15 semakin hampir.
Katanya, mereka menuntut hak seperti kebebasan pendidikan dan bahagian lebih besar dalam “peruntukan kewangan” negeri kerana Sabah dan Sarawak mewakili satu pertiga daripada 222 kerusi di Parlimen.
Katanya, dengan keadaan ketidaktentuan global, Malaysia memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil.
“Kita tidak memerlukan tiga perdana menteri dalam lima tahun. Cukuplah dengan politik harian, perpecahan dan kebencian,” katanya.