
Kenderaan rasmi yang membawa Saarani kelihatan memasuki Istana Kinta kira-kira 2.08 petang tadi.
Sebelum itu, turut kelihatan kenderaan Penasihat Undang-undang Perak, Azmir Shah Zainal Abidin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Suaidi Abdul Rahim memasuki kawasan istana.
Saarani ketika ditemui dalam sebuah majlis di Bagan Serai semalam memaklumkan beliau sudah mendapat perkenan menghadap Sultan Nazrin hari ini bagi mendapatkan perkenan untuk membubarkan DUN Perak.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Isnin lalu untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Susulan pembubaran Parlimen, Ismail turut mengesyorkan kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mendapatkan perkenan diraja untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya negeri dan persekutuan diadakan serentak.
Perak mempunyai 59 kerusi DUN, dengan 25 dari Barisan Nasional, DAP (15), Amanah (5), Bersatu (4), PAS (3), PKR (3), PBM (3) dan bebas (1).