Ramai tidak mahu mengundi dua kali, kata Lim

Ramai tidak mahu mengundi dua kali, kata Lim

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, pengundi tidak akan pulang mengundi buat kali kedua sekiranya pilihan raya negeri diadakan berasingan.

Ada pengundi memberitahu mereka tidak akan keluar mengundi pada PRU15 sekiranya diadakan secara berasingan.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, Pakatan Harapan harus terbuka mengadakan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak di Pulau Pinang dengan memberi amaran kemungkinan jumlah keluar mengundi rendah jika diadakan berasingan.

Lim berkata, pengundi di luar Pulau Pinang mungkin tidak pulang untuk mengundi pada pilihan raya negeri jika diadakan tahun depan.

“Setengah pengundi berkata mereka mungkin tidak datang mengundi sekiranya pilihan raya negeri diadakan berasingan,” katanya kepada FMT.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan itu memberitahu, pakatan pembangkang juga perlu melihat faktor kos untuk mengadakan pilihan raya berasingan.

“Kini rakyat dipaksa menerima pilihan raya umum oleh Barisan Nasional, mereka mahu pilihan raya negeri kerana rakyat ekoran rakyat tetap kena keluar mengundi untuk pilihan raya Parlimen.

“Mengapa bebankan rakyat dengan kos tambahan dengan mengadakan pilihan raya buat kali kedua,” katanya.

Lim berkata, sentimen kini menunjukkan pengundi mahu menghukum BN kerana mendesak pilihan raya umum ke-15 (PRU15) walaupun musim banjir semakin hampir dan dengan keadaan ekonomi negara.

Bekas menteri kewangan itu memberitahu, selain pengundi di Pulau Pinang, sebahagian dari Selangor, di mana kerajaan negeri memutuskan tidak membubarkan DUN, juga merasakan pilihan raya perlu diadakan serentak bagi “menghukum BN dua kali”.

Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, negeri diterajui PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan mengadakan pilihan raya negeri kerana mahu menfokuskan persiapan menghadapi musim banjir yang dijangka pertengahan Nov hingga awal tahun depan.

Ketika ditanya mengenai keengganan PKR dan Amanah mengadakan pilihan raya serentak, Lim berkata, perkara itu akan dibincangkan oleh pemimpin tertinggi gabungan berkenaan.

“Bagaimanapun, kita (PH) perlu mengfokuskan untuk memenangi PRU15 (dengan mengadakan pilihan raya serentak) bagi memaksimumkan prospek pilihan raya supaya kita boleh lakukan sesuatu untuk rakyat.

“Saya juga berpendapat, dengan mengadakan pilihan raya Parlimen dan negeri serentak ia akan memberi kelebihan kepada jentera pilihan raya, terutama ketika BN dan Perikatan Nasional bersiang antara mereka,” jelasnya.

Kata Lim, sekiranya PN tewas pada PRU15, tiada apa yang dapat menghalang PAS daripada bekerjasama dengan Umno di bawah Muafakat Nasional.

Pertembungan secara berdepan antara PH dan MN dalam pilihan raya berasingan kira-kira lapan bulan akan datang adalah lebih mencabar dan berisiko, kata Lim.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulang Pinang, Chow Kon Yeow memberitahu wartawan, beliau lebih cenderung memilih pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU15, dengan alasan lebih memudahkan urusan logistik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.