
Menteri Kanan Pendidikan sementara Mohd Radzi Md Jidin, berkata langkah tersebut dibuat supaya SPRM dapat menyiasat dakwaan penyelewengan membabitkan kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan di bawah kementerian itu.
“Saya menerima hantaran video dibuat saudara Zaharin Mohd Yassin menyatakan bahawa terdapat aduan beliau terima tentang penyelewengan di KPM berkaitan Surat Setuju Terima (SST) untuk kontrak bekalan makanan bermasak dan kebersihan bangunan serta kawasan.
“Memandangkan nama saya dan KSU KPM turut disentuh, saya telah mengarahkan KSU KPM untuk membuat laporan segera kepada SPRM supaya siasatan terhadap dakwaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin,” katanya di Facebook.
Radzi turut memuat naik video sama dalam hantaran berkenaan.
Kenyataan Radzi hadir selepas bekas ahli Umno Zaharin Mohd Yassin memuat naik sebuah video yang mendakwa beliau mendapat aduan bahawa tender untuk bekalan makanan bermasak dan pembersihan bangunan serta kawasan di bawah KPM telah dianugerahkan kepada pihak tertentu sebelum SST dikeluarkan.
Zaharin turut mendakwa pemberian kontrak itu difahamkan untuk dana politik.
“Menteri KPM Radzi Jidin dan KSU KPM Yusran Shah, kamu jawab soalan ini atau minta SPRM serbu KPM dan minta dia maklumat tender ini yang dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor kenapa bocor.
“Saya boleh memberi kerjasama jika mahu disiasat,” tegas Zaharin.