Subvarian Omicron XBB dikesan di Malaysia, kata Khairy

Subvarian Omicron XBB dikesan di Malaysia, kata Khairy

KKM menjangkakan berlaku sedikit peningkatan kes, tetapi menasihati orang ramai supaya tidak bimbang.

Khairy Jamaluddin berkata, gelombang subvarian Omicron XBB tidak membawa kepada peningkatan dari segi kemasukan ke hospital dan kematian.
SEREMBAN:
Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan berlaku sedikit peningkatan kes Covid-19 untuk beberapa minggu akan datang, berikutan pengesanan gelombang kecil subvarian Omicron XBB di negara ini.

Menteri Kesihatan sementara, Khairy Jamaluddin menasihati orang ramai tidak bimbang dengan perkembangan itu, namun perlu sentiasa berwaspada memandangkan negara masih dalam fasa peralihan ke endemik.

“Kita dah kesan XBB di Malaysia, namun setakat ini ia tidak membawa kepada peningkatan dari segi kemasukan ke hospital dan kematian, itu yang menjadi kayu ukur terpenting. Bagi saya, kita tengok ada sedikit peningkatan, masing-masing buat penilaian risiko, tiada yang perlu dibimbangkan setakat ini.

“Sejauh mana ia akan meningkat, pegawai saya di KKM sedang membuat unjuran berdasarkan model jangkitan yang kita ada sebelum ini dan minggu depan saya dapat memberi unjuran lebih tepat,” katanya selepas menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara Kampus Seremban.

Kementerian Kesihatan Singapura sebelum ini dilapor memaklumkan kes Covid-19 di negara itu kembali meningkat sejak sebulan lepas, terutamanya berpunca daripada subvarian Omicron XBB dengan gelombang jangkitan XBB dijangka memuncak pada pertengahan November ini.

Khairy berkata, meskipun kemungkinan berlaku peningkatan kes di negara ini, KKM tidak mempunyai perancangan untuk mengembalikan sebarang sekatan, termasuk melaksanakan pemakaian pelitup muka semula.

“Fasa peralihan ke endemik mesti mengambil kira mutasi virus kepada varian baharu. Kalau datang varian baharu tidak dijangkakan yang boleh meningkatkan kebolehjangkitan, kesan dan gejala, maka kita akan semak balik (pakai pelitup muka), tetapi setakat ini tidak.”

Ditanya sama ada KKM mempunyai langkah tambahan diperkenalkan terhadap individu yang berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura, katanya, setakat ini belum ada, namun pihaknya sentiasa memantau dan berhubung dengan Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung mengenai perkara itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KKM sudah menghantar cadangan prosedur operasi standard (SOP) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan tiada langkah tambahan atau sekatan diperkenalkan.

“Saya lihat keadaan terkawal, jadi kita tak nak apa-apa sekatan, nak buat ceramah, buatlah. Cuma kalau rasa tempat sesak, pakailah pelitup muka. Sekarang ini lebih kepada pemerkasaan individu. KKM dah bagi cadangan kepada SPR supaya pengundian dapat dijalankan dengan selamat.”

Terdahulu, ketika berucap pada majlis penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia, Khairy berkata, beliau akan mengusulkan program itu dijadikan program kekal kepada mahasiswa, sekiranya masih dilantik sebagai menteri.

“Peranti digital tidak lagi jadi kemewahan, tapi keperluan. Banyak maklumat mengenai kursus, penyelidikan dan sebagainya terkandung dalam talian. Program ini bukan perbelanjaan, tapi pelaburan. Setakat ini, ia untuk B40, tapi mungkin akan diperluaskan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.