
Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pakatan pilihan raya itu dimuktamadkan petang tadi, dengan tiga perkara asas dipersetujui.
“Pertama, Muda sebagai pakatan pilihan raya dengan PH sebulat suara, tanpa berbelah bahagi menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.
“Kedua, untuk memenangi pilihan raya kali ini, PH dan Muda memastikan tidak berlakunya pertembungan kerusi dan ketiga, Muda diberi fleksibiliti menggunakan logo sendiri pada pilihan raya nanti,” katanya ketika pengumuman calon parti itu malam ini.
Beliau yakin parti itu mampu memberi kemenangan kepada PH, dengan semangat dan komitmen yang ada dalam Muda.
Sementara itu, Muda mengumumkan tiga calon pertamanya pada PRU15, iaitu jurutera, Danial Abdul Majeed yang akan bertanding di Parlimen Kepala Batas, Siti Rahayu Baharin di Tanjong Karang, Selangor dan Lim Wei Jiet di Tanjung Piai, Johor.
Amira berkata, Muda akan mengumumkan beberapa lagi calon yang mewakili parti itu pada 31 Okt ini, termasuk di Sabah.
Katanya, ini adalah penyertaan pertama Muda dalam PRU dan ia akan bertanding di beberapa kerusi luar bandar yang disandang nama-nama besar politik, termasuk menteri.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar berkata: “Status saya, nantikan pengumuman pada Rabu ini.”
Katanya, beliau tidak akan membazirkan peluang yang diberikan mahkamah untuk membela diri terhadap dakwaan rasuah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.