
Katanya, tindakan sabotaj, protes, dan cuba menutup bilik gerakan hanya akan menunjukkan warna sebenar sikap mereka terhadap parti dan rakyat perlu menilai peribadi politik sedemikian.
Senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk Semenanjung yang diumumkan Zahid menyaksikan sejumlah besar muka baharu termasuk penguguran beberapa Ahli Parlimen yang lama berkhidmat dan memegang jawatan menteri.
“Ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan. Maka janganlah pula terfikir untuk mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung.
“Jika ini berlaku bermakna tidak bersyukur kerana selama ini mereka relevan, menjawat jawatan lama kerana atas tiket parti Umno dan Barisan Nasional,” katanya di Facebook.
Antara yang digugurkan termasuk menteri dan timbalan menteri seperti Annuar Musa, Shahidan Kassim, Dr Adham Baba dan Halimah Sadique.
Semalam, Shahidan mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Arau walaupun digugurkan oleh BN.
Menurut Utusan Malaysia, Shahidan berkata beliau belum memutuskan parti mana akan ditandinginya tetapi akan memilih parti yang menyokong Muafakat Nasional, merujuk kepada pakatan antara PAS dan Umno.
Penyandang empat penggal Parlimen Arau itu turut menggesa Zahid melepaskan jawatannya dan digantikan dengan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob bagi menerajui parti Melayu itu pada PRU15.
Terdahulu, Shahidan turut menutup bilik gerakan Parlimen Arau selain bendera turut diturunkan selepas tidak terpilih sebagai calon.
Sebelum ini Umno Arau antara yang terawal membuka bilik gerakan.