
Santiago menegaskan bahawa sebelum pembubaran Parlimen, Ismail mendakwa kerajaan sudah bersedia menangani banjir.
“Kini, beliau (Ismail) berkata akan memulakan perbincangan dengan SPR bagi mengenalpasti alternatif sekiranya banjir melanda. Mengapa tidak bincang lebih awal?” soalnya dalam kenyataan.
Semalam, Ismail berkata, perbincangan akan diadakan dengan SPR dan agensi berkaitan bagi melihat alternatif boleh diambil untuk meneruskan proses pilihan raya ketika banjir besar melanda.
Menurut Jabatan Meteorologi pada Jumaat, monsun timur laut akan bermula esok dan berlanjutan sehingga Mac tahun depan.
Katanya, ia akan menyebabkan banjir di kawasan rendah dan kawasan berdekatan sungai.
Jabatan itu juga meramalkan fenomena air pasang besar boleh melanda kawasan pantai dalam beberapa tempoh antara November dan Januari tahun depan.
Santiago juga mempersoalkan adakah wujud sebarang perbincangan dilakukan berhubung sepertiga pusat pemindahan sementara di seluruh negara digunakan sebagai pusat pengundian.
“Ismail sepatutnya sudah membuat usaha wajar sebelum membubarkan Parlimen,” katanya.
“Walaupun sudah berulang kali diingat melihat kepada SOP sewajarnya, beliau mengambil mudah. Sikap untuk segera mengambil tindakan sudah terlambat.”