Waris si mati berkhidmat dalam angkatan tentera dapat manfaat pencen

Waris si mati berkhidmat dalam angkatan tentera dapat manfaat pencen

Pencen terbitan adalah manfaat dibayar setiap bulan kepada janda atau duda, dan anak orang kurang upaya semua penjawat awam, termasuk mereka yang pernah berkhidmat dalam angkatan tentera.

Ramai anggota tentera memilih bersara ketika berusia 40 tahun memandangkan mereka layak menerima pencen penuh.
PETALING JAYA:
Pasangan bekas anggota tentera yang berkahwin selepas persaraan akan terus menerima pencen terbitan selepas kematian, namun hanya sehingga hari lahir ke-80 si mati.

Pencen terbitan merupakan manfaat yang dibayar setiap bulan kepada janda atau duda, dan anak orang kurang upaya semua penjawat awam, termasuk mereka yang pernah berkhidmat dalam angkatan tentera.

Bagi semua penjawat awam yang berkahwin selepas persaraan, janda atau duda yang layak akan menerima pencen terbitan terhad selama 20 tahun dari tahun persaraan pesara itu.

Bagi anggota tentera yang berkahwin ketika dalam perkhidmatan, janda atau duda layak menerima pencen terbitan sepanjang hayat sebagaimana keluarga penjawat awam lain.

Bagaimanapun, memandangkan ramai anggota tentera bersara seawal usia 40 tahun susulan menyertai angkatan tentera ketika berusia 18 tahun, peraturan itu menjejaskan keluarga mereka. Anggota angkatan tentera layak mendapat pencen penuh selepas berkhidmat selama 21 tahun.

Tidak diketahui berapa ramai keluarga anggota tentera akan menerima manfaat daripada peraturan baharu itu yang berkuat kuasa tahun depan.

Menurut notis daripada persatuan veteran angkatan tentera yang dilihat FMT, Kementerian Pertahanan memaklumkan kepada mereka bahawa Majlis Angkatan Tentera membuat keputusan mengubah peraturan yang menjejaskan ahlinya, pada mesyuarat Julai lalu.

“Arahan itu akan dikeluarkan oleh Majlis Angkatan Tentera selepas undang-undang berkaitan dipinda. Ia akan berkuat kuasa bermula 1 Jan tahun depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.