Zul Huzaimy disiasat kerana mahu ‘sembelih kafir harbi’

Zul Huzaimy disiasat kerana mahu ‘sembelih kafir harbi’

Pelakon itu sudah memohon maaf atas kenyataan yang didakwanya diambil di luar konteks.

Zul Huzaimy disiasat mengikut Seksyen 506 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
PETALING JAYA:
Pelakon Zul Huzaimy disiasat kerana mengeluarkan kenyataan didakwa berbaur perkauman dan ugutan melalui video tular dalam ceramah awal bulan ini.

Dalam video itu, Zul Huzaimy didakwa mahu menyembelih kafir harbi dan hanya undang-undang menghalangnya daripada berbuat demikian.

Setiausaha polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 506 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung video tular berkenaan.

“Siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pelakon berusia 43 tahun itu yang turut dikenali sebagai Spark, tampil memohon maaf berikutan kenyataannya mahu menyembelih orang bukan Islam dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 Nov lalu.

Beliau menafikan dirinya terlalu ekstrem sehingga membuat kenyataan itu dan meminta rakyat menonton video itu secara penuh bagi memahami maksud sebenar.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Md Nor turut mengecam kenyataan pelakon itu selepas pengguna media sosial mempersoalkan parti itu kerana Zul Huzaimy dilihat berkempen untuk PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.