
Ismail yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas MA63 berkata, usaha itu bagi memastikan setiap perjanjian termaktub dalam MA63 dapat dilunaskan demi perubahan besar, termasuk di Sabah.
Beliau berkata, banyak perkara dicapai menerusi Jawatankuasa Khas MA63, termasuk dalam aspek bayaran tunai petroleum daripada Petronas dan cukai jualan ke atas produk petroleum kepada negeri ini hampir RM5 bilion.
“Saya merupakan pengerusi (Jawatankuasa Khas) MA63 yang bermesyuarat setiap bulan dengan Sabah diwakili Ketua Menteri (Hajiji Noor). Saya dah beri komitmen segala tunggakan yang belum selesai melalui MA63, kita akan selesaikan sedikit demi sedikit.
“Ini komitmen kerajaan persekutuan dan saya percaya dengan apa yang kita beri melalui MA63 yang kita laksanakan, insya Allah perubahan besar akan berlaku di Sabah,” katanya berucap pada majlis ramah mesra perdana menteri bersama rakyat Libaran di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan calon BN Parlimen Libaran bagi pilihan raya umum ke-15, Suhaimi Nasir.
Ismail berkata, setiap bulan beliau bermesyuarat bersama Hajiji dan Premier Sarawak, Abang Johari Openg bagi membincangkan perkara belum diselesaikan berkaitan MA63.
“Setiap bulan, kita akan membuat ‘checklist’ dari segi perkara-perkara yang belum diselesaikan.
“Rancangan masa depan pun telah dibincang dengan pihak negeri Sabah daripada segi mewujudkan syarikat berkaitan penghasilan minyak (petroleum), ini supaya Sabah juga mempunyai pegangan dalam saham berkaitan penjualan minyak,” katanya.
Ditanya sasaran menyelesaikan perkara tertunggak dalam perjanjian itu, Ismail berkata, pihaknya tidak mempunyai sasaran spesifik, sebaliknya akan cuba sedaya upaya menyelesaikannya secepat mungkin.
Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan persekutuan diterajui BN akan terus memberi keutamaan kepada usaha membangunkan Sabah, dan ini dapat dilihat menerusi peruntukan RM6.3 bilion untuk negeri itu dalam Bajet 2023, yang merupakan peruntukan tertinggi di Malaysia.
Katanya, peruntukan itu sebagai komitmen kerajaan persekutuan, antara lain bagi menambah baik kemudahan infrastruktur jalan luar bandar, menaik taraf sekolah dan klinik desa daif serta memperkasa pembangunan jalur lebar di Sabah menerusi Jalinan Digital Negara.
“Kita akan memastikan isu sekolah dan klinik desa daif (di Sabah) dapat diatasi. Selain itu dalam tempoh dua tahun, kita juga menyasarkan untuk menyelesaikan (masalah liputan internet) dan 100% kawasan di Sabah akan diliputi internet 4G,” katanya.