Kenapa Zahid perlu ada dalam Jemaah Menteri?

Kenapa Zahid perlu ada dalam Jemaah Menteri?

Penganalisis berkata pelantikan presiden Umno itu dalam Jemaah Menteri akan membantu menjaga kestabilan kerajaan perpaduan.

Penyokong PH dan kumpulan sivik yang menentang pelantikan Ahmad Zahid Hamidi dalam Jemaah Menteri perlu ditanya sama ada mereka lebih suka kerajaan yang dikuasai PAS, kata Oh Ei Sun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Langkah menamakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi sebagai anggota Jemaah Menteri akan membantu menstabilkan kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim, menurut seorang penganalisis.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, ini dengan andaian Zahid akan dapat mengekalkan jawatan presiden Umno pada pemilihan parti akan datang, yang mesti diadakan tidak lewat dari enam bulan selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

Oh berkata, Ahli Parlimen Umno akan lebih berkemungkinan mengikut kehendak Zahid jika beliau kekal sebagai presiden.

Oh Ei Sun.

“Namun jika beliau hilang jawatan itu, penyandang seterusnya mungkin sokong atau tidak sokong Anwar. Jika tidak sokong Anwar, Umno mungkin meninggalkan kerajaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, penyokong Pakatan Harapan (PH) dan kumpulan sivik yang menentang pelantikan Zahid perlu ditanya sama ada mereka lebih suka kerajaan yang dikuasai PAS.

Ditanya apa difikirkannya akan berlaku jika Zahid, sebagai anggota Jemaah Menteri, didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah jenayah yang dihadapinya, Oh berkata, Anwar kemudian boleh memintanya meletak jawatan.

Mengenai sama ada BN dan tokoh nombor dua Umno, Mohamad Hasan mungkin boleh berfungsi lebih baik daripada Zahid, Oh berkata, Ahli Parlimen Rembau itu “mungkin tidak menguasai kedudukan keseluruhan Umno seperti Zahid”.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, beliau percaya Mohamad, walaupun boleh menjalankan tugas sebagai menteri, tidak akan dilantik menganggotai Jemaah Menteri kerana beliau bukan presiden partinya.

James Chin.

Mengulas sama ada Anwar akan menjejaskan reputasinya dengan melantik seseorang yang berdepan tuduhan di mahkamah, Chin berkata: “Jika Zahid dilantik menjadi menteri dan mahkamah mendapatinya tidak bersalah, kemudian orang lain boleh kata, ‘Tengok, kita tidak tersilap melantiknya’.

“Tetapi jika dia didapati bersalah atas tuduhan rasuah, boleh juga dikata, ‘Kita beri semua orang peluang dan dia didapati bersalah kerana kita tidak campur tangan dalam proses mahkamah’.

“Boleh pusing ke mana-mana. Ini lah masalahnya dengan politik Malaysia, terlalu banyak putar belit dan bukan sepenuhnya realiti.”

Bagaimanapun, Chin memberi amaran bahawa pelantikan Zahid akan mendapat respons negatif daripada masyarakat antarabangsa yang menurutnya, sedang memerhatikan perkembangan politik negara.

Kedua-dua penganalisis itu mengulas pandangan bekas naib presiden PKR Tian Chua bahawa melantik Zahid sebagai anggota Jemaah Menteri akan menstabilkan kerajaan.

Semalam, Tian Chua berhujah bahawa Zahid perlu diberi jawatan menteri memandangkan beliau memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan, yang menyaksikan BN bersetuju bekerjasama dengan PH, diikuti gabungan dan parti lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.