
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata syarikat penerbangan beroperasi di KLIA juga dijangka mampu menjimatkan bahan bakar sehingga RM500 juta setahun susulan tempoh penerbangan lebih singkat.
“Kebiasaan pesawat sebelum mendarat perlu membuat beberapa pusingan atau beberapa pergerakan untuk mendarat atau sistem giliran supaya pesawat mendarat satu persatu, tetapi dengan adanya sistem baru ini pergerakan mereka lebih pendek,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke pusat kawalan trafik udara Kuala Lumpur (KLATCC).
“Jadi, sudah tentu apa yang akan dicapai adalah penggunaan bahan api menurun dan dapat menjimatkan kos operasi syarikat penerbangan.”
Beliau berkata, sistem baharu yang dibina Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) itu mampu mengoptimumkan pergerakan mendarat dan berlepas sehingga 108 pesawat dalam sejam.
Dalam pada itu, Loke berkata beliau juga telah meminta CAAM untuk melanjutkan operasi perkhidmatan kawalan trafik udara khususnya di Sabah dan Sarawak pada musim perayaan agar syarikat penerbangan dapat meningkatkan kekerapan penerbangan.
Katanya, usaha terbabit mampu merungkai isu peningkatan harga ketika waktu puncak khususnya di musim perayaan melibatkan laluan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
“CAAM telah beri komitmen untuk melanjutkan tempoh operasi kawalan trafik udara seminggu sebelum Tahun Baharu Cina ini dan juga musim perayaan selepas itu.
“Dengan waktu operasi trafik lapangan terbang lebih panjang maka syarikat penerbangan boleh menambah penerbangan terutama penerbangan lewat malam,” katanya.
Justeru, beliau berharap dengan lanjutan tempoh operasi itu tiada lagi alasan diberikan oleh pihak syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan laluan dan menurunkan harga tiket kapal terbang.
“Dengan kemudahan (kawalan trafik) dipanjangkan operasinya maka syarikat penerbangan tidak ada alasan untuk tambah penerbangan.
“Saya seru semua syarikat untuk tambah penerbangan agar harga tiket akan dapat diturunkan khususnya ke Sabah dan Sarawak,” katanya.