Ahli Parlimen tolak usul kerajaan dianggap letak jawatan, menurut perjanjian

Ahli Parlimen tolak usul kerajaan dianggap letak jawatan, menurut perjanjian

Parti Ahli Parlimen itu hendaklah mengeluarkan notis kepada speaker Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Semua gabungan yang menandatangani persefahaman juga bersetuju ia perlu memastikan bahawa setiap Ahli Parlimen mereka mengundi seperti mana klausa 4(a) dalam perjanjian. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Usul Percaya dan Rang Undang-undang Perbekalan antara lima perkara dipersetujui gabungan politik yang memeterai perjanjian persefahaman permuafakatan antara gabungan bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Ia antara lain turut membawa kepada pengosongan kerusi Parlimen yang dimenangi sekiranya gagal, enggan atau cuai ketika menjalankan tanggungjawab mereka, menjelang sidang khas Parlimen, Isnin ini.

Melalui perkara itu, ia menuntut supaya setiap parti dan pihak mengundi untuk menyokong perdana menteri dalam usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga menetapkan bahawa setiap parti dan pihak-pihak perlu bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman dalam parti masing-masing bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan kerajaan perpaduan Malaysia dalam sebarang undian yang membawa kesan kepada keabsahan kerajaan perpaduan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, semua gabungan yang menandatangani persefahaman juga bersetuju ia perlu memastikan bahawa setiap Ahli Parlimen mereka mengundi seperti mana klausa 4(a) dalam perjanjian berkenaan.

Sekiranya berlaku kegagalan, keengganan atau kecuaian mana-mana Ahli Parlimen dalam gabungan berkenaan berbuat demikian, perjanjian itu menyatakan ia perlu diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu.

Justeru, ia dianggap sebagai peletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen manakala kerusi Ahli Parlimen terbabit dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kegagalan, keengganan atau kecuaian dari berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu, yang dianggap sebagai peletakan jawatan dan atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Parti Ahli Parlimen tersebut hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil,” menurut intipati perjanjian itu.

Terdahulu FMT melaporkan perjanjian persefahaman itu ditandatangani Anwar Ibrahim selaku pengerusi Pakatan Harapan, Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.