‘Selamat’ pun berisiko, pakar ingatkan banyak faktor kegagalan cerun masih di luar kawalan manusia

‘Selamat’ pun berisiko, pakar ingatkan banyak faktor kegagalan cerun masih di luar kawalan manusia

Nor Shahidah Mohd Nazer di UKM memberi gambaran bahawa kebanyakan cerun yang ada di negara kita memperlihatkan keadaan yang stabil namun seperti 'bom jangka', boleh meletus bila-bila masa.

PETALING JAYA:
Orang awam dan pihak berkepentingan harus sedar bahawa banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan cerun terutama cerun tanah dan ianya masih menjadi suatu kejadian yang sukar diramal di dalam keadaan keragaman iklim yang tidak menentu.

Pakar geologi kejuruteraan dan mekanik tanah, Nor Shahidah Mohd Nazer di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberi gambaran bahawa kebanyakan cerun yang ada di negara kita memperlihatkan keadaan yang stabil namun seperti ‘bom jangka’, boleh meletus bila-bila masa.

“Walaupun kadang kala tidak ada binaan besar di atas cerun, beban yang bertindak ke atas cerun boleh datang dari elemen semula jadi yang ada pada cerun sebagai contoh pokok-pokok besar,” katanya kepada FMT.

“Ditambah pula dengan tarikan graviti yang bertindak ke atas cerun maka apabila berlaku pemotongan cerun ataupun bahagian kaki cerun di potong, tekanan yang wujud di dalam cerun menjadi tidak stabil dan beban tadi akan menyumbang kepada ketidakstabilan cerun – menyebabkan tanah akan runtuh bagi mencapai keseimbangan semula.”

Beliau juga berkata kebanyakan tanah di Malaysia tinggi dengan dua bahan halus iaitu lodak dan lempung. Bahan ini amat sensitif dengan kehadiran air terutama apabila kadar presipitasi di dalam tanah meningkat. Kejadian hujan yang terjadi beberapa kali di sesuatu kawasan sama ada lebat atau tidak, berpotensi meningkatkan kandungan air di dalam cerun secara berterusan, sekaligus meninggikan tekanan air liang dan melemahkan kekuatan ricihan cerun.

“Jadi apabila ada air, kestabilan cerun akan turun dengan mendadak,” katanya.

“Di dalam keadaan ini, bagi sesetengah cerun yang mana tekanan ricihan yang bertindak di dalamnya telah menghampiri kekuatan ricihan maksimum yang mampu ditanggung cerun, kehadiran hujan walaupun tidak lebat sudah cukup untuk menyebabkan cerun gagal.

“Apabila ini berlaku, tanah bercampur air turun dengan kelajuan yang tinggi dan jarak cakupannya juga cukup luas disebabkan tanah kini bersifat separuh bendalir.”

Shahidah menambah sekalipun satu-satu kawasan itu tidak diteroka untuk pembangunan secara besar-besaran, kegagalan cerun masih berpotensi untuk berlaku tetapi risikonya akan lebih rendah jika kaedah penstabilan cerun yang bersesuaian di bangunkan.

Susulan tragedi tanah runtuh di Batang Kali baru-baru ini, Shahidah menyarankan tempoh larangan berkhemah di kawasan cerun ketika musim hujan.

“Kalau kita tahu musim hujan nak tiba, contohnya Monsun Timur Laut seperti sekarang, maka tapak khemah sepatutnya ditutup sebelum orang ramai datang,” katanya, yang percaya pengenalan konsep perkhemahan secara bermusim mampu melindungi keselamatan orang awam daripada terdedah kepada bencana tanah runtuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.