PM arah tubuh jawatankuasa laksana, pantau kos sara hidup

PM arah tubuh jawatankuasa laksana, pantau kos sara hidup

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau sendiri.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa itu akan memastikan usaha berterusan kerajaan dalam meringankan beban rakyat dan kesinambungan terhadap pengumuman terdahulu susulan kenaikan kos sara hidup.
SHAH ALAM:
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa pelaksanaan dan pemantauan kos sara hidup akan ditubuhkan atas arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, usaha menangani kos sara hidup akan menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan perpaduan dan jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau sendiri.

Katanya, jawatankuasa itu akan memastikan usaha berterusan kerajaan dalam meringankan beban rakyat dan kesinambungan terhadap pengumuman terdahulu, termasuk berkaitan tarif elektrik, petrol serta mengawal kekurangan bahan makanan asas.

“Saya telah bekerjasama dengan menteri-menteri tertentu yang menjaga portfolio mengenai kos sara hidup ini bersama ketua setiausaha dan ketua pengarah serta lain-lain pegawai kanan kementerian untuk menangani permasalahan ini secara tuntas,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra anjuran Persatuan Penganut Kuil Sree Maha Kaliamman.

Zahid berkata, walaupun kerajaan perpaduan terdiri daripada parti politik berbeza ideologi, tetapi masih ada persamaan dalam kalangan mereka.

Katanya, sebuah sekretariat khas ditubuhkan bagi mencari kesamaan dalam manifesto parti politik berbeza itu.

“Maka, perkara pertama yang dilihat dalam semua manifesto kerajaan ini daripada parti-parti politik berbeza, perkara pertama harus dilihat, harus dilaksanakan, jadi ‘quick win’ ialah menangani kos sara hidup,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.