
Presiden Jaringan Sahabat Malaysia, Radzi Abdul Rahman, yang juga jurucakap kepada 40 mangsa membuat laporan itu berkata, sindiket berkenaan menjalankan aktiviti penipuan di seluruh negara sejak 2015.
“Selain 40 mangsa terbabit, sindiket itu berjaya memperdayakan kira-kira 100,000 mangsa di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak berdasarkan data yang kami kumpul.
“Ini mengakibatkan mangsa kerugian jutaan ringgit. Sindiket itu masih aktif melalui banyak kumpulan WhatsApp, mengumpul wang daripada ahli lama dan baharu,” katanya pada sidang media.
FMT sudah menghubungi polis untuk pengesahan.
Radzi menegaskan, mangsa cuba menghubungi pengurus tertinggi dana pelaburan itu untuk membuktikan kesahihannya tetapi gagal mendapat sebarang maklum balas.
Beliau menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan lanjut, sambil menegaskan mangsa menyerahkan nama pengendali sindiket kepada pihak berkuasa.
Beliau juga berkata, NGO itu akan menyerahkan memorandum kepada Bank Negara dan SKMM pada Selasa.