Sambutan dos penggalak suram, kata persatuan perubatan

Sambutan dos penggalak suram, kata persatuan perubatan

Presiden Persatuan Hospital Swasta Dr Kuljit Singh berkata sejak tiga bulan belakangan ini, banyak langkah pencegahan Covid-19 semakin diabaikan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Dr Kuljit Singh, berkata kebanyakan orang ramai tidak lagi memakai pelitup muka, tiada penjarakan sosial, malah penggunaan cecair sanitasi di tempat awam juga sudah jarang diamalkan.
PETALING JAYA:
Sambutan orang ramai terhadap pengambilan dos penggalak berada pada tahap kurang memuaskan, kata Presiden Persatuan Hospital Swasta Dr Kuljit Singh.

Katanya, situasi itu berlaku walaupun orang ramai boleh hadir tanpa janji temu di beberapa klinik swasta.

Beliau berkata, sambutan ke atas kempen dos penggalak amat rendah berbanding enam bulan atau setahun lalu, sambil menyifatkan sejak beberapa bulan lalu, kepentingan pengambilan dos penggalak juga tidak terlalu ditekankan media dan kerajaan.

“Tiga bulan kebelakangan ini, semuanya seakan dilupakan… banyak yang sudah tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan sosial, malah penggunaan cecair sanitasi di tempat awam juga sudah jarang diamalkan.

“Di minda orang ramai, pandemik sudah berakhir, maka langkah pencegahan yang selama ini diambil sudah mula diabaikan,” lapor Berita Harian.

Kuljit berkata, varian baharu Covid-19 akan tetap ada walaupun kawalan diperketat di setiap pintu masuk sempadan.

Beliau berkata, negara tidak boleh menutup sempadan atau lari daripada Covid-19.

“Mereka perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan untuk melakukan semua perkara.

“Apa yang penting adalah orang ramai melakukan amalan kawalan kendiri. Jika semua orang mengambil tanggungjawab menjaga diri sendiri, virus ini tidak akan tersebar,” katanya.

Pada 29 Dis lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan rakyat mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 susulan perkembangan wabak itu yang kembali melonjak di China.

“Melihat kepada perkembangan terkini di China, KKM (Kementerian Kesihatan) ingin menyarankan kepada semua untuk mendapatkan dos penggalak vaksin terutama barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi,” katanya.

Selain itu, negara seperti United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat, Jepun, Itali, Sepanyol, Maghribi dan Kanada mula mengenakan beberapa sekatan tertentu terhadap pengembara dari China, sebagai langkah awal mengekang penularan pandemik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.