Kestabilan politik mesti meluas ke semua negeri, kata Zahid

Kestabilan politik mesti meluas ke semua negeri, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata kestabilan kerjasama PH dan BN di peringkat persekutuan perlu wujud di semua negeri.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kestabilan penting dalam memastikan rakyat tidak dibebani sekali lagi dengan pilihan raya.
PETALING JAYA:
Kestabilan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan perlu diterima dan wujud di semua negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid mengulas kemungkinan kerjasama berterusan antara PH dan BN pada pilihan raya negeri akan datang, semasa wawancara di RTM.

“Pendirian BN, yang pasti Umno akan sokong, (ialah) kita perlu mengelak rakyat dibebani sekali lagi dengan pilihan raya.

“Seboleh-bolehnya, sistem demokrasi mesti mengambil kira hakikat bahawa kuasa seorang ketua eksekutif sesebuah negeri, dalam kes ini (Sabah), seorang ketua menteri, mesti berdasarkan perlembagaan negeri itu,” katanya.

Mengenai campur tangan ilahi dan kerajaan perpaduan

Ketika diminta mengulas mengenai prestasi BN pada PRU15, Zahid berkata “campur tangan ilahi” membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan.

“Kita sebagai ahli politik mesti berusaha ke arah merealisasikan impian parti masing-masing tetapi kita juga harus kembali kepada campur tangan ilahi. “Ini adalah penjamin. Apakah kemungkinan 82 (kerusi PH) ditambah 30 (kerusi BN), secara langsung menghasilkan 112 (kerusi parlimen) untuk membentuk kerajaan?”

Beliau juga mengaitkan “campur tangan ilahi” dengan kemungkinan semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan – PH, BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan, yang bersatu untuk membentuk majoriti dua pertiga, dengan 148 kerusi Parlimen.

“Hakikatnya harus diakui bahawa pilihan raya umum ke-11 adalah kali terakhir kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga. Pada masa itu, 198 kerusi dimenangi oleh kerajaan. Sejak itu tiada majoriti dua pertiga.

“Kini, dalam era kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sekali lagi, 148 kerusi ini memberi kesahan kepada majoriti dua pertiga,” kata Zahid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.