
Dalam afidavit difailkan di Mahkamah Tinggi awal bulan ini, Thomas mendakwa kerajaan tidak diberi kuasa sama ada dalam Perlembagaan mahupun sebarang undang-undang menubuhkan pasukan petugas itu.
Dokumen itu difailkan bagi membalas afidavit jawapan kerajaan dan ahli pasukan petugas berkenaan, dalam usaha mereka membatalkan saman dikemukakan Thomas terhadap siasatan mereka.
“Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan kerajaan sebarang kuasa legislatif untuk melantik pasukan petugas itu.
“Selain itu tiada kuasa prerogatif diberikan kepada kerajaan sama ada di bawah perlembagaan atau selainnya,” katanya.
Disebabkan itu, katanya, pelantikan ahli pasukan petugas itu menyalahi undang-undang, dan laporan mereka berhubung isu berkenaan juga tidak sah.
Beliau memohon permohonan mereka untuk membatalkan samannya ditolak, dengan menegaskan kes itu “membangkitkan isu perlembagaan serius”.
Dalam afidavit difailkan bagi pihak kerajaan dan ahli pasukan petugas itu bulan lalu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, Shukor Mahmood memohon saman itu dibatalkan kerana bersifat melampau, remeh, menyakitkan hati dan menyalahgunakan proses mahkamah.”
Mahkamah Tinggi menetapkan pengurusan kes itu pada 30 Januari ini di depan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Thomas, yang menjadi peguam negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020, menamakan pengerusi pasukan petugas JC Fong, serta ahli-ahlinya Hashim Paijan, Junaidah Kamarruddin, Jagjit Singh Bant Singh, Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi dan Najib Surip sebagai defendan.
Beliau berkata, penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Thomas memohon deklarasi bahawa pasukan petugas itu adalah badan yang tidak sah dan tiada kuasa untuk melaksanakan fungsi yang diberikannya oleh kerajaan.
Pada 8 Oktober 2021, Jemaah Menteri menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk menjalankan kajian awal ke atas pendedahan yang dibuat Thomas dalam memoirnya itu.
Pada 22 Disember lalu, Jemaah Menteri meluluskan terma rujukan pasukan petugas khas itu yang membabitkan siasatan ke atas dakwaan berhubung badan kehakiman, pendedahan rahsia kerajaan, penyalahgunaan kuasa, kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.
Laporannya dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada September lalu dan didedahkan kepada umum pada 21 Oktober.
Minggu lalu, Menteri Undang-undang Azalina Othman Said mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat pelbagai dakwaan dibangkitkan dalam memoir berkenaan.