PKR perlu Umno lebar pengaruh di Kelantan, Terengganu, kata penganalisis

PKR perlu Umno lebar pengaruh di Kelantan, Terengganu, kata penganalisis

Bagaimanapun, seorang penganalisis lain berkata PKR mesti mengetahui apa yang membuatkan PAS menjadi pilihan di negeri berkenaan.

PKR sesuai bekerjasama dengan Umno untuk mencipta nama di Kelantan dan Terengganu, kata penganalis politik Awang Azman Awang Pawi.
PETALING JAYA:
PKR perlu bergabung tenaga bersama Umno jika mahu mengukuhkan kehadirannya di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh lima tahun mendatang, kata penganalisis politik.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata Umno meraih sokongan akar umbi lebih baik di kawasan nusa teras Melayu, justeru mengundang lebih banyak ancaman kepada PAS, berbanding PKR.

Sebelum ini, perebutan undi Melayu di Pantai Timur sentiasa melibatkan PAS dan Umno.

“Kedua-dua parti itu sentiasa di hadapan dalam memperjuangkan orang Melayu. PKR tidak boleh melakukan ini kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai pangkalan di Kelantan,” katanya kepada FMT.

Awang Azman menegaskan penting bagi PKR dan Umno memanfaatkan pakatan semasa dalam kerajaan persekutuan menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang tahun ini, selain menyelesaikan peruntukan kerusi.

“Rancangan jangka pendek mereka (PRN) akan mempengaruhi rancangan jangka panjang,” katanya.

Walaupun PKR mendapat sokongan terutamanya di kawasan bandar, penganalisis politik maklum Umno dan Perikatan Nasional mendominasi kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata parti itu akan melaksanakan rancangan lima tahun mulai 1 Mac ini untuk memperkukuh parti dan jenteranya di Kelantan dan Terengganu.

Awang Azman berkata, Pakatan Harapan harus membentuk bekerjasama dengan Majlis Ulama Umno sambil memperjuangkan konsep “Malaysia Madani”, yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

“Majlis itu perlu memasukkan ulama berkemampuan menyaingi Dewan Ulama PAS dengan menunjukkan Islam di bawah pimpinan Anwar adalah progresif dan sederhana, bukan sesuatu yang dieksploitasi demi kepentingan politik,” katanya.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, berkata PKR mesti mengenal pasti apa yang menjadikan PAS kuat di negeri itu walaupun berpandangan secara teorinya, kekuatan parti itu datang dari jenteranya.

“Mungkin mereka mempunyai rangkaian pendakwah yang besar menyokong mereka, serta aktiviti (politik) kerap di masjid, surau dan sekolah pondok?

“Jentera dan pergerakannya sangat cekap sehingga berjaya memecahkan kubu kuat PKR dan BN pada pilihan raya umum November lalu serta berjaya memikat pengundi kali pertama dan atas pagar.”

PKR juga harus mengambil kira demografi bagi memastikan parti itu menarik minat pengundi di sana.

“Ada pandangan bahawa pembangunan di negeri Pantai Timur tidak begitu pesat berbanding negeri lain tetapi adakah ia akan membuatkan penduduk setempat ambil peduli? katanya sambil menyatakan kehadiran PAS di media sosial juga kuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.