Waspada risiko ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’, kumpulan pengguna beri amaran

Waspada risiko ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’, kumpulan pengguna beri amaran

Menurut mereka ia hanya akan menambahkan hutang yang sedia dihadapi rakyat Malaysia.

Skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) menjadikan segalanya lebih mudah membuat pembelian tetapi akan menyebabkan ramai terperangkap dalam hutang. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kumpulan pengguna dan penganalisis kewangan memberi amaran bahawa skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) yang memberikan pengguna akses mudah kepada wang tunai untuk pembelian baharu, boleh bertukar menjadi masalah kewangan.

Pengurus Kanan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Baskaran Sithamparam, berkata ia hanya akan menambahkan hutang yang sedia dihadapi rakyat Malaysia.

Manakala, perancang kewangan, Lee Miew Kuan menegaskan bahawa walaupun BNPL boleh menjadi alat kewangan yang berharga bagi mereka yang perlu membuat pembelian penting, namun ia boleh meningkatkan hutang ke tahap yang tidak terurus bagi ramai pengguna.

Baskaran dan Lee mengutarakan pandangan mereka mengenai kewujudan BNPL yang semakin popular dalam kalangan pengguna.

BNPL ialah sejenis skim pembiayaan jangka pendek yang membolehkan pengguna membeli sesuatu barangan dan membayarnya pada tarikh masa hadapan. Secara amnya, ia distrukturkan sebagai pelan ansuran atau kemudahan pinjaman wang yang melibatkan pengguna, pembiaya dan peniaga dari mana pembelian dibuat.

Menurut businesswire.com, laman web yang menyebarkan siaran akhbar daripada ribuan perniagaan, pengguna Malaysia mula mengubah tingkah laku pembelian dalam talian selepas melalui pelbagai sekatan berkaitan pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

Kemudahan BNPL tersedia untuk kebanyakan pembelian dalam talian.

Baskaran memberitahu FMT Business bahawa BNPL akan menyebabkan pengguna berdepan hutang jangka panjang. “BNPL menjadikan pembelian mudah, terutamanya untuk anak muda, yang tidak dapat memperolehi wang tunai dengan segera,” katanya.

“Tetapi jika mereka gagal membayar balik, pembekal perkhidmatan akan mengenakan penalti. Dalam jangka masa panjang mereka akan berhutang,” katanya.

“Mereka juga akan berada dalam senarai hitam agensi pelaporan kredit CTOS, menjadikannya sangat sukar bagi mereka untuk mendapatkan pinjaman kemudian,” tambahnya.

Lee pula menegaskan bahawa kebanyakan pelan BNPL adalah untuk pembelian mengikut budi bicara dan bukannya keperluan.

“Bagi kebanyakan orang, hutang BNPL hanya akan terkumpul, seperti yang berlaku untuk hutang kad kredit,” katanya kepada FMT Business. “Ini telah membawa ramai ke kedudukan kewangan yang sukar.”

“Rakyat Malaysia tidak seharusnya mempunyai mentaliti ‘nikmati dulu, bayar kemudian’. Sebaliknya, mereka harus berusaha untuk mengembangkan kekayaan mereka untuk menikmati kehidupan tanpa hutang nanti,” tambahnya.

Sementara itu, jurucakap Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu bahawa hanya BNPL yang ditawarkan oleh bank dikawal selia.

Bagaimanapun, katanya, semua produk kredit pengguna termasuk BNPL dikawal selia oleh pasukan petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.