Kumpulan tuntut pertikaian Sulu bukan waris sah

Kumpulan tuntut pertikaian Sulu bukan waris sah

Datu Omar Ali Datu Bachtiyal yang mendakwa waris sah kumpulan Sulu berkata penuntut, Taj Mahal Kiram-Tarsum Nuqui telah berbohong mengenai keturunannya.

Datu Omar Ali mendakwa bapanya dan Datu Ombra Amilbangsa yang kemudian menjadi Sultan Sulu pada 1937 merupakan sepupu pertama (gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Seorang lelaki yang mendakwa waris Kumpulan Sulu tidak bersetuju tindakan sekumpulan individu membawa pertikaian Sulu ke Mahkamah Sepanyol kerana mereka bukan waris sah.

Datu Omar Ali Datu Bachtiyal, 64, berpandangan tindakan sekumpulan individu itu membawa pertikaian dan proses timbang tara ke Mahkamah Sepanyol juga adalah tidak betul dan tidak sah.

“Pendapat saya tidak sah sebab kita tahu (fakta waris) ini bercampur, dan kalau kita kaji betul-betul (status mereka) diragui jadi ini (status) tidak benar pada saya,” katanya menurut Bernama.

Datu Omar Ali turut mempertikaikan keturunan individu membuat tuntutan terbabit iaitu Taj Mahal Kiram-Tarsum Nuqui yang mendakwa dirinya waris kepada Dayang Dayang Piandao, seorang puteri dan antara pentadbir Kesultanan Sulu pada 1936.

Menurutnya, perkara itu tidak benar kerana wanita berkenaan tidak mempunyai zuriat.

Beliau turut menjelaskan bahawa Dayang Dayang Piandao yang berkahwin dengan Datu Ombra Amilbangsa menaiki takhta dan menjadi Sultanah pada 1937 sehingga mangkat pada 1945.

Datu Omar Ali mendakwa bapanya dan Datu Ombra Amilbangsa yang kemudian menjadi Sultan Sulu pada 1937 merupakan sepupu pertama.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Pada Feb 2022, sebuah mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan Putrajaya membayar pampasan USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Kerajaan mencabar keputusan itu di Perancis dan Sepanyol. Minggu lalu, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol mengesahkan pembatalan penimbang tara yang membuat keputusan itu.

Datu Omar Ali berkata pertikaian Sulu sebenarnya boleh dirunding dengan baik bersama semua pihak dan proses arbitrasi boleh dilaksanakan menerusi meja rundingan secara damai tanpa melibatkan persengketaan.

“Kita boleh runding…kita cuma mahu apa yang baik bagi kedua-dua pihak, kita pun mahu tolong bangunkan Sabah. Adalah lebih baik kita berbincang dengan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Dakwanya, beliau langsung tidak pernah dirujuk oleh kumpulan individu terbabit sebelum mereka membawa proses arbitrasi di Mahkamah Sepanyol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.