Data kerajaan P Pinang bocor dalam talian

Data kerajaan P Pinang bocor dalam talian

Exco Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, walaupun data bocor itu daripada pangkalan data lama.

Tangkap layar daripada catatan di BreachForums menyatakan data daripada kerajaan Pulau Pinang dimuat naik ke forum itu.
GEORGE TOWN:
Lebih 600,000 baris “data peribadi” daripada laman sesawang rasmi kerajaan Pulau Pinang didakwa dicuri dan dimuat naik ke internet.

Data itu dimuat naik ke forum BreachForums oleh pengguna dengan nama samaran “LeakBase”’ pada 18 Jan, yang berkata ia sedia untuk dimuat turun.

Dakwaan itu pada mulanya dikongsi di Twitter oleh @FalconFeedsio, yang berkata LeakBase mendakwa data itu termasuk nama pengguna, kata laluan, nama penuh, alamat e-mel, dan kunci berkaitan keselamatan seperti kata laluan sekali guna (OTP).

Laman sesawang kerajaan Pulau Pinang (www.penang.gov.my) ialah portal sehenti yang menawarkan lebih 30 e-perkhidmatan berbeza untuk perkhidmatan awam, wakil rakyat, dan exco.

Exco Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berkata walaupun data bocor itu daripada pangkalan data lama, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan akan mengambil apa saja langkah perlu.

“Kami tidak boleh terima sebarang pencerobohan sedemikian kerana ia mendedahkan sistem kami terhadap serangan,” katanya kepada FMT.

“Pejabat setiausaha kerajaan negeri yang mengendalikan laman sesawang itu diarah menjalankan penilaian kerentanan bagi mengelakkan pencerobohan pada masa depan.”

Sementara itu, bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, terkejut dengan kejadian itu dan berkata siasatan segera akan dijalankan agensi keselamatan siber.

“Saya akan menggesa jawapan diberikan dalam sidang Parlimen akan datang,” kata Ahli Parlimen Bagan itu ketika dihubungi.

Pencerobohan data berleluasa di Malaysia sejak beberapa tahun ini.

Insiden terbaharu pada Disember lalu menyaksikan seorang pengguna Facebook mendakwa data peribadi hampir 13 juta rakyat Malaysia dibocorkan daripada laman sesawang Maybank, Astro, dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Susulan itu, Astro dilaporkan berkata siasatan awal mendapati maklumat pelanggannya tidak terjejas, manakala Maybank berkata ia tidak mengalami pencerobohan data.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.