Kerajaan belum lihat secara serius kanabis perubatan, kata Anwar

Kerajaan belum lihat secara serius kanabis perubatan, kata Anwar

Ini kerana, kata perdana menteri, kerajaan masih menunggu cadangan Kementerian Kesihatan sebelum membuat sebarang keputusan.

Anwar Ibrahim berkata, isu penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan turut membabitkan aspek keselamatan. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kerajaan belum memutuskan sama ada akan membenarkan dari segi undang-undang penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Beliau berkata, kerajaan masih menunggu cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu, sebelum membuat sebarang keputusan.

“Setakat ini, kita belum melihat perkara ini secara serius, kita tunggu cadangan nanti. Isu ini turut melibatkan aspek keselamatan,” katanya pada hari terakhir lawatan rasmi dua hari ke Thailand.

Beliau mengulas persoalan sama ada kerajaan akan meneruskan atau menghentikan penyelidikan berhubung penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Ogos lepas, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin dalam lawatan kerja di Thailand, turut meninjau potensi penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan, di samping melihat kerangka undang-undang berkaitan.

Khairy dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji pengalaman Thailand untuk disesuaikan dengan konteks di Malaysia, sebelum memutuskan sama ada membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Thailand merupakan negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.