Lelaki ditikam pesakit mental stabil

Lelaki ditikam pesakit mental stabil

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan mangsa diselamatkan pasukan perubatan dan kini dilaporkan stabil.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata beliau bertemu keluarga mangsa untuk menjelaskan apa yang berlaku. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang dilaporkan cedera ditikam pesakit mental di Hospital Selayang, semalam, disahkan dalam keadaan stabil.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa ingin mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kerana demam denggi, sebelum diserang pesakit terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya akan mengkaji semula tatacara operasi standard (SOP) berkaitan pesakit mental di wad kecemasan dan klinik.

“Sebelum tular maklumat yang salah, saya ingin memaklumkan kejadian lelaki ditikam (semalam) membabitkan seorang pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.

“Ia boleh terjadi di mana saja, jadi kita akan mengkaji semula SOP berhubung pesakit mental bagi menjamin keselamatan pesakit lain di wad kecemasan dan klinik,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau memaklumkan mangsa yang cedera akibat tikaman itu diselamatkan pasukan perubatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, meminta penjelasan daripada Hospital Selayang berhubung kes berkenaan.

Zaliha berkata beliau terus bergegas ke hospital dari Dewan Rakyat selepas menerima berita itu.

“Kami bertemu keluarga mangsa dan menjelaskan apa yang berlaku serta langkah yang kami ambil untuk memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik,” katanya di Twitter.

Katanya, keluarga pesakit dimaklumkan mengenai perkembangannya dari semasa ke semasa.

“Kejadian sedang disiasat oleh pihak berkuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.