Ada ‘mangsa’ diselamat memang nak jadi ‘scammer’, kata menteri

Ada ‘mangsa’ diselamat memang nak jadi ‘scammer’, kata menteri

Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka menghubungi minta dibawa pulang selepas gagal mencapai KPI menjadi 'scammer'.

Saifuddin Nasution Ismail berkata polis membawa mereka ke Malaysia berdasarkan prinsip ‘hak untuk pulang’.
KUALA LUMPUR:
Ada kalangan rakyat Malaysia “diselamatkan” daripada sindiket penipuan kerja pergi ke luar negara dengan niat menjadi “scammer”, manakala ada juga sudah “diselamatkan”, namun minta dibawa pulang sekali lagi, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis mengenal pasti 339 mangsa di Laos, Kemboja, Filipina, Myanmar, Thailand, dan Emiriah Arab Bersatu.

“Polis juga sudah mengenal pasti dua agensi pencari kerja tempatan terlibat dalam kegiatan itu, dengan lapan ditahan daripada dua agensi berkenaan. Ketika ini, pihak berkuasa berada di Thailand bagi menyelamatkan mangsa.

“Daripada sejumlah 339 mangsa, 218 diselamatkan, manakala baki 121 diklasifikasikan sebagai terkandas,” katanya menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru).

Saifuddin berkata, polis menemuduga mangsa diselamatkan dan mengkategorikan mereka dalam empat kumpulan.

“(Dalam kumpulan pertama) bila mereka menjejakkan kaki meninggalkan negara, mereka tahu mereka nak jadi ‘scammer’. Sebab itu di sana ada yang dah berjaya, maksudnya bila dia jalankan kerja ‘scammer’, dia capai KPI, kutipan yang mesti dia capai melalui scam ‘cryptocurrency’, atau love scam.

“Jadi, bila dia capai dia tak nak balik, ada juga.

“(Sebaliknya) dia tahu bila dia sampai sana dia tak capai KPI, maka dia kata dia menjadi mangsa dan dia hubungi kita minta untuk diselamatkan. Saya kena jujur mengesahkan dalam Parlimen ini,” katanya.

Kumpulan kedua melibatkan “mangsa” yang sebelum ini diselamatkan.

“Hancur luluh pasukan polis bila diberitahu bahawa kita kesan mereka pergi pula dan mereka hubungi ‘tolong selamatkan kami lagi’. Ini bukan fakta di awang-awangan, saya mesti bertanggungjawab di dewan yang mulia,” katanya.

Kumpulan ketiga membabitkan mereka pergi ke luar negara untuk berjudi sehingga ke tahap meminjam wang ah long di sana.

Saifuddin berkata, apabila mereka gagal membayar semula wang, mereka menghubungi polis minta diselamatkan. Polis akan menyelamatkan mereka kerana Malaysia tegas mempertahankan prinsip “hak untuk pulang”.

Kumpulan keempat melibatkan mereka ke luar negara kerana benar-benar terpedaya dengan tawaran lumayan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.