Kenapa ‘tergesa-gesa’ dengar rayuan Najib, soal Shafee

Kenapa ‘tergesa-gesa’ dengar rayuan Najib, soal Shafee

Peguam bela mendakwa timbul khabar angin ketika itu bahawa Dewan Rakyat akan dibubarkan.

Najib Razak tidak boleh dipersalahkan kerana melayan persepsi beliau akan dipenjara supaya tidak lagi menjadi faktor dalam pilihan raya umum, kata peguamnya, Shafee Abdullah.
PUTRAJAYA:
Pasukan pembelaan Najib Razak mempersoalkan sama ada Mahkamah Persekutuan “tergesa-gesa” mengesahkan sabitan dan hukuman bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International pada Ogos tahun lalu.

Pihak pembelaan, diketuai peguam, Shafee Abdullah, memberitahu mahkamah bahawa timbul khabar angin mengenai pembubaran Dewan Rakyat ketika rayuan terakhir dijadualkan untuk didengar pada Ogos tahun lepas.

Mahkamah mengesahkan pensabitan dan hukuman ke atas Najib pada 23 Ogos. Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 Okt dengan pengundian diadakan pada bulan berikutnya.

“Ada satu lagi kes yang ditangguhkan sebanyak 70 kali,” dakwa peguam Shafee Abdullah tanpa menamakan kes itu.

“Bolehkah anda menyalahkan dia (Najib) kerana melayan persepsi bahawa dia akan dihantar (ke penjara) supaya dia tidak lagi menjadi faktor pada PRU (lalu)?” soalnya.

Pendakwa Raya V Sithambaram membantah sindiran Shafee dan memintanya berpegang pada hujahan bertulis.

“Sebagai peguambela, saya perlu menyatakannya tanpa rasa takut atau pilih kasih,” jawab Shafee.

Terdahulu, Shafee memberitahu mahkamah barisan peguam Najib ketika diketuai peguam, Hisyam Teh Poh Teik, memohon menangguhkan perbicaraan kerana beliau hanya dilantik kurang sebulan sebelum pendengaran dijadual berlangsung.

Hisyam minta dilepaskan apabila permohonan itu ditolak, kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan.

Perbicaraan diteruskan di hadapan sidang lima hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai sidang itu ialah Hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan, dan Abu Bakar Jais.

Pada 23 Ogos 2022, satu lagi panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib dan memerintahkan beliau mula menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang serta-merta.

Najib disabitkan dengan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pertuduhan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bekas perdana menteri itu memfailkan usul mendapat kebenaran menyemak semula keputusan itu tahun lalu atas alasan mahkamah melanggar prinsip keadilan semulajadi, termasuk haknya untuk perbicaraan adil dan melantik peguam.

Beliau mahu keputusan 23 Ogos 2022 diketepikan dan satu lagi sidang Mahkamah Persekutuan terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim mendengar semula rayuannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.