Kawal selia pembuangan sisa berbahaya untuk henti pencemaran, kata bekas ketua SPAN

Kawal selia pembuangan sisa berbahaya untuk henti pencemaran, kata bekas ketua SPAN

Charles Santiago berkata langkah itu lebih berkesan daripada mengenakan denda dan hukuman penjara lebih berat.

Dilaporkan sebanyak 23 sungai tercemar pada 2021, mengakibatkan gangguan bekalan air yang melibatkan ribuan isi rumah dan perniagaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas ketua Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mahu kerajaan mengawal selia pembuangan sisa berbahaya bagi mengekang pencemaran.

Charles Santiago, yang juga bekas Ahli Parlimen Klang, berkata mengawal selia proses pembuangan sisa berbahaya berbanding mengenakan pendekatan menghukum dilihat lebih berkesan bagi menghalang pencemaran.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berhubung cadangan meningkatkan hukuman bagi pencemaran air dari RM100,000 kepada RM10 juta dan penjara maksimum dari setahun kepada 15 tahun, atau kedua-duanya.

“Ketika ini, pengumpulan dan pembuangan sisa berbahaya tidak dikawal selia. Justeru, banyak industri mendapatkan kontraktor yang menawarkan kos rendah membuang sisa buangan mereka,” katanya kepada FMT.

“Jadi, daripada cuba mengelak pencemaran di mana ia berlaku, kita perlu melihat tempat di mana sisa keluar dari kilang atau premis.”

Katanya, semua syarikat pengurusan sisa yang menguruskan sisa berbahaya mesti dilesenkan dan wajib mematuhi peraturan pihak berkuasa berkaitan, termasuk dari Kementerian Pengangkutan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan majlis daerah.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan perlu mengetuai penguatkuasaan pembuangan sisa memandangkan operasi pembuangan sebahagian besar melibatkan pengangkutan.

“Pihak berkuasa tempatan mempunyai data mengenai kilang dan premis yang perlu melupuskan sisa.

“Dengan kawal selia dan mekanisme pemantauan, kita dapat mengesan lori dari syarikat pembuangan sisa berbahaya bermula dari pusat kutipan sehingga ke pusat pelupusan sisa ditetapkan.”

Santiago berkata, lebih mudah bagi polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan kenderaan tidak dibenarkan membawa sisa buangan berbahaya di jalan raya, daripada memantau laluan sungai di seluruh negara.

Dalam pada itu, Pengurus Program Penjagaan Sungai Pusat Alam Sekitar Global, K Kalithasan, percaya hukuman minimum lebih berat boleh menghalang pelaku melakukan pencemaran.

“Hukuman maksimum tidak selalunya dikenakan, jadi penting mempunyai hukuman minimum lebih berat. Denda minimum sekurang-kurangnya RM1 juta harus dikenakan,” katanya.

Katanya, kerajaan sepatutnya menamakan dan mengecam pihak bertanggungjawab yang melakukan pencemaran.

Pada 2021, sebanyak 23 sungai dilaporkan tercemar, mengakibatkan gangguan bekalan air hingga melibatkan ribuan isi rumah serta perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.