Keputusan mahkamah jejas kes Najib, dakwa Shafee

Keputusan mahkamah jejas kes Najib, dakwa Shafee

Peguam Shafee Abdullah berkata, keputusan panel terdahulu yang menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik telah menafikan hak Najib Razak untuk mendapat perbicaraan adil.

Najib Razak mendakwa keengganan Mahkamah Persekutuan membenarkan peguamnya menarik diri menyebabkannya tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
PUTRAJAYA:
Panel hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan akhir Najib Razak dalam kes SRC International mengakibatkan kesnya terjejas apabila menolak dua permohonan dikemukakan pihak pembelaan.

Peguam Shafee Abdullah berkata, keputusan panel terdahulu yang menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik telah menafikan hak Najib untuk mendapat perbicaraan adil. Dua permohonan ditolak itu adalah bagi menangguhkan prosiding rayuan, serta untuk menarik diri sebagai peguam bela Najib.

Shafee berkata, keputusan mahkamah itu memaksa pembelaan tertuduh dikendalikan peguam yang tidak efektif.

Menurutnya, tidak adil apabila Mahkamah Persekutuan menyalahkan Najib atas tindakannya menukar peguam sebelum rayuan akhirnya.

Selain itu, Shafee mendakwa panel berkenaan “melanggar undang-undang” apabila menghalang Hisyam menarik diri.

“Tidak salah beliau (Hisyam) meminta penangguhan kerana memerlukan masa (untuk menyediakan diri),” katanya dalam permohonan Najib untuk mahkamah tertinggi itu menyemak semula keputusan berkenaan.

Prosiding bersambung esok di depan panel lima hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas sabitan dan hukumannya dalam kes SRC disahkan Mahkamah Persekutuan.

Tahun lalu beliau memfailkan usul untuk semakan semula keputusan berkenaan atas alasan mahkamah telah melanggar prinsip keadilan asasi termasuk hak mendapat perbicaraan adil dan pembelaan sewajarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.