
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata Laporan Tahunan 2017 BNM menyarankan kadar gaji kehidupan wajar individu bujang dewasa yang menetap di bandar adalah RM2,700, manakala pasangan tanpa anak adalah RM4,500 dan pasangan dengan dua anak adalah RM6,500.
“Sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji secara teliti dan mengenal pasti model yang paling sesuai untuk negara kita,” katanya menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang) yang bertanyakan sekiranya kerajaan akan mempertimbangkan melaksanakan cadangan model gaji progresif.
Sivakumar berkata, model gaji progresif memerlukan satu kajian lebih mendalam selaras situasi ekonomi dan perburuhan semasa.
Katanya, pelaksanaan gaji progresif dan gaji minimum mempunyai objektif sama, iaitu memberi perlindungan kepada pekerja yang menerima gaji terendah.
Beliau turut memaklumkan bagi tempoh Mei hingga Dis 2022, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia menjalankan 17,565 pemeriksaan berkanun terhadap majikan berkenaan pelaksanaan perintah gaji minimum.
Menurut Sivakumar, daripada jumlah itu, sebanyak 2,448 syor pematuhan telah dikeluarkan atas pelanggaran perintah tersebut.
Katanya, bagi tempoh sama, Jabatan Tenaga Kerja Sabah telah menjalankan 5,707 pemeriksaan dan telah mengeluarkan 128 syor pematuhan, manakala Jabatan Tenaga Kerja Sarawak dengan 5,490 pemeriksaan dan 83 syor pematuhan.
Sivakumar menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang ingin tahu sejauh mana kementerian menjalankan kerja pemantauan dan penguatkuasaan di lapangan sejak pelaksanaan perintah gaji minimum dan tindakan yang diambil terhadap mereka yang melanggar perintah tersebut.