
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan JPPM itu dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri menerusi surat kepada setiausaha agung parti itu.
JPPM berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.
“Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menerima surat bertarikh 3 Mac yang memaklumkan keputusan menteri dalam negeri berhubung usul itu,” katanya dalam satu sidang media.
Menurut surat itu yang dibaca Zahid, Kementerian Dalam Negeri memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13 (1)(c) (14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Beliau berkata surat itu adalah satu keabsahan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden Umno disahkan tidak dipertandingkan.
“Ini kerana semua klausa dalam perlembagaan parti juga turut diikuti oleh pengerusi tetap.
“Ini termasuk pengerusi tetap meminta perwakilan menyatakan sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan usul itu,” katanya yang menambah 95% daripada perwakilan bersetuju.
Dalam Perhimpunan Agung Umno pada Jan lalu, parti itu meluluskan usul tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan parti akan datang.
Bagaimanapun, JPPM pada bulan lalu dilaporkan menyiasat kemungkinan berlakunya pelanggaran perlembagaan parti selepas usul itu diluluskan.
Siasatan itu dibuat selepas dua ahli Umno memfailkan aduan kepada JPPM mendakwa tindakan membentangkan usul itu di perhimpunan agung melanggar Artikel 10 perlembagaan parti itu.
Mereka menegaskan bahawa, sesuatu usul perlu dibentangkan dua minggu sebelum perhimpunan agung, atau tujuh hari sekiranya ia dibentangkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi.