
Katanya, presiden PAS itu tidak perlu menyerang kerajaan kerana larangan itu juga terpakai kepadanya.
“Itu terpakai untuk semua…termasuk perdana menteri.
“Rasional (larangan) dibuat kerajaan negeri kerana terlalu banyak adegan bicara soal agama terlalu keras jalur politiknya (dan) fahaman kepartian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan.
Sabtu lalu, Hadi menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.
Sebaliknya, menurut timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.
Kenyataan Hadi sebagai respon kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Shaikh Harun Shaikh Ismail yang mengeluarkan larangan ahli politik berceramah di masjid atau surau.
Dalam kenyataan Jumaat lalu, Shaikh Harun berkata ia bertujuan supaya semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk politik kepartian.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau juga turut menghormati keputusan sultan di negeri masing-masing yang telah mengeluarkan arahan seperti di Terengganu, termasuk di Selangor.
Disebabkan itu, beliau turut menolak apabila diminta menyampaikan tazkirah atau ceramah di masjid dihadirinya setiap kali solat Jumaat.
“Saya ke masjid pada (setiap) Jumaat…memang diminta jawatankuasa dan imam untuk sampaikan sedikit tazkirah sebelum selesai solat.
“Tetapi saya hormati arahan jabatan agama atas keputusan Tuanku, saya mengelak maka saya salam sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar juga mengingatkan Hadi supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Hadi berhubung PN berhak merancang merampas kerajaan.
“Itu tak apalah, itu naratif Hadi Awang.
“Saya nak ingatkan supaya kenyataan-kenyataan harus jaga supaya jangan menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.