
M Karthigesu mendakwa Hemakavin, 26, diperdaya sindiket penyeludupan dadah ketika ke Phnom Penh pada 2016, sebelum ditahan polis di sebuah hotel di sana.
Hemakavin, yang berusia 19 tahun ketika itu, dan teman wanitanya memujuk Karthigesu membenarkan beliau pergi bercuti di ibu negara Kemboja itu. Kakak gadis itu bersama teman lelakinya juga sepatutnya pergi bersama mereka.
Karthigesu, yang merupakan juruteknik, berkata beliau pada mulanya tidak memberi kebenaran, tetapi akhirnya akur dengan permintaan mereka kerana mempercayai teman wanita anaknya.
Hemakavin terbang ke Kemboja dahulu, manakala tiga yang lain mendakwa penerbangan mereka ditunda kerana masalah tiket.
“Mereka meminta beliau mendaftar masuk sebuah hotel dan memaklumkan akan tiba keesokannya. Anak saya ditahan sebelum dia memasuki bilik itu,” dakwa Karthigesu dalam sidang media anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
“Polis kemudian menyerahkan sebuah kotak mengandungi dadah kepadanya dan mengambil gambar beliau memegang kotak itu. Cap jarinya berada di kotak itu yang dijadikan bukti di mahkamah.”
Hemakavin, anak sulung daripada tiga beradik, dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun oleh sebuah mahkamah Kemboja pada 2016.
Karthigesu merayu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membangkitkan kes itu ketika lawatan rasminya ke Kemboja akhir bulan ini kerana beliau sudah menggunakan semua cara untuk menyelamatkan anaknya.
Peguam Suaram, Farida Mohd mempertikaikan perbicaraan Hemakavin di mahkamah yang disifatkannya “penuh dengan keraguan”.
“Saksi penting tidak dipanggil ketika perbicaraan. Ini termasuk pegawai penyiasat, pegawai polis yang menahannya dan saksi pakar seperti ahli kimia. Individu yang menempah bilik hotel itu juga tidak dipanggil.”
Katanya, Hemakavin juga menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan pihak berkuasa dan memahami perbicaraan dalam bahasa Kemboja, dengan jurubahasa tidak fasih berbahasa Inggeris.
Charles Santiago, pengerusi bersama Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR), berkata pihak berkuasa perlu meneliti elemen pemerdagangan manusia dalam kes itu.
“Ramai anak muda diperdaya menjadi keldai dadah. Nampaknya Hemakavin diperangkap dan menjadi mangsa pemerdagangan manusia.”
Walaupun kehabisan dana untuk membantu anaknya, tetapi Karthigesu berikrar tidak akan berputus asa kerana Hemakavin memintanya terus menaruh harapan.
“Ketika saya bertemunya di lokap (pada awal 2020), dia berkata ‘Ayah, bersabar dan tabah. Satu hari nanti saya akan pulang’.
“Saya merayu kerajaan Malaysia dan Kemboja bersimpati dengan anak saya. Saya harap dia akan pulang untuk meraikan Deepavali.”