
“Majlis Tertinggi membuat keputusan menolak permohonan kemasukan Pejuang ke PN,” kata Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin dalam kenyataan.
Pada 2 Mac lalu, Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata, parti itu mengutuskan surat kepada Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin untuk menjadi parti komponennya.
Katanya, surat sama turut diserahkan kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Hamzah berkata, keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin semalam, selaku pengerusi PN dan dihadiri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Sementara itu, beliau berkata Majlis Tertinggi juga membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang PN dalam PRN Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, manakala bagi Kelantan serta Terengganu lambang PAS akan digunakan.
“Majlis Tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi,” katanya.
Selain itu, Hamzah turut mengumumkan beberapa pelantikan baru melibatkan Muhammad Sanusi Md Nor sebagai ketua pengarah pilihan raya PN, Ronald Kiandee sebagai pengerusi badan perhubungan PN Sabah dan Mohd Radzi Jidin sebagai pengerusi badan perhubungan PN Wilayah Persekutuan.
Katanya, turut diputuskan ialah pelantikan Mohamad Siddiq Mohd Azani dan Muhd Khidir Izaidin sebagai penolong setiausaha eksekutif PN.